Bukan semua bahagian hadir majlis kelompok kerana notis lambat, kata ahli MPT

Bukan semua bahagian hadir majlis kelompok kerana notis lambat, kata ahli MPT

Wan Saiful Wan Jan jelas, kesemua 22 bahagian diundang, namun hanya 14 dapat hadir kerana jadual bercanggah.

Wan Saiful Wan Jan
Ahli MPT Saifuddin Abdullah merasmikan Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian 2025 di Seri Kembangan hari ini, menggantikan tempat Timbalan Pengerusi Hamzah Zainudin.
BANGI:
Seorang pemimpin Bersatu menjelaskan, hanya 14 daripada 22 bahagian hadir pada Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian 2025 hari ini disebabkan kelewatan notis dan jadual bercanggah.

Ditanya mengenai ura-ura perpecahan mengikut kem dalam parti, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Wan Saiful Wan Jan berkata, semua bahagian sebenarnya diundang, namun lapan bahagian tidak dapat hadir kerana tarikh majlis bertembung dengan persidangan bahagian masing-masing.

Majlis itu sepatutnya dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Hamzah Zainudin, namun beliau tidak dapat hadir disebabkan kematian bapa mentuanya, lalu digantikan oleh ahli MPT Saifuddin Abdullah.

“Kita jemput semua bahagian, tetapi disebabkan isu teknikal, maka notis mesyuarat hanya dikeluarkan tujuh hari lebih awal,” kata Wan Saiful kepada pemberita selepas acara tersebut.

“Ada bahagian yang memang tidak dapat ubah tarikh, dan ada juga yang sedang bersidang petang ini, jadi tidak dapat hadir.”

Menurut Wan Saiful, Setiausaha Agung Azmin Ali, yang juga ketua Bersatu Selangor, turut diundang namun beliau tidak dapat hadir kerana terlibat dengan persidangan bahagian Gombak.

Sebanyak 14 bahagian yang hadir terdiri daripada Bangi, Sepang, Sabak Bernam, Ampang, Pandan, Selayang, Kota Raja, Hulu Langat, Puchong, Damansara, Klang, Subang, Sungai Buloh dan Hulu Selangor.

Dalam pada itu, mengulas dakwaan bahawa Ibu Pejabat Perikatan Nasional (PN) ditutup, Wan Saiful berkata, perkara itu perlu dijelaskan oleh Azmin selaku setiausaha agung.

“Kalau benar pejabat ditutup, ia sesuatu yang membimbangkan. Saya harap pihak setiausaha (agung) PN ambil tindakan segera untuk memastikan pejabat dibuka.

“Saya juga harap pihak pengurusan serta pentadbiran PN ambil serius perkara ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.