Puak dalam Umno didakwa cuba cemar reputasi, guling Zahid

Puak dalam Umno didakwa cuba cemar reputasi, guling Zahid

Sumber MKT dakwa ada pihak cuba singkir presiden Umno dengan melagakannya dengan timbalannya.

Azmi Hassan berkata tiada tanda tunjuk Mohamad Hasan dan Zahid Hamidi ingin saling mencabar sebaliknya beliau percaya hubungan dua tokoh Umno itu baik.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin kanan Umno mendakwa usaha baru-baru ini untuk melaga-lagakan Presiden Zahid Hamidi dan Timbalan Mohamad Hasan sebahagian kempen dirancang untuk merampas kuasa dalam parti.

Sumber Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang enggan namanya disiarkan berkata, satu kumpulan dalam Umno sedang berusaha menggambarkan Zahid sebagai lemah dan tidak layak kekal sebagai presiden.

“Kumpulan ini cuba memecahbelahkan parti supaya kemudian mereka boleh bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden.

“Matlamat mereka adalah untuk mengembangkan naratif bahawa Zahid tidak berkesan dan tidak sesuai pimpin parti,” katanya kepada FMT.

Ketika berucap merasmikan mesyuarat Umno Ledang Ahad lalu, Mohamad berkata, ada pihak tertentu cuba melaga-lagakannya dengan Zahid dengan tujuan melemahkan kepimpinan parti.

“Ada pihak nak adu domba saya dengan presiden Umno. Saya senyum sahaja sebab individu itu sendiri tidak boleh dipercayai kerana pernah bercakap buruk mengenai presiden.

“Saya pun tidak tahu apa yang dia cakap mengenai saya di belakang,” katanya menurut Berita Harian.

FMT bagaimanapun merahsiakan identiti individu yang dikatakan menjadi ketua kumpulan itu menurut sumber.

Penganalisis politik Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara juga percaya mungkin ada usaha terancang dari dalam Umno untuk menggulingkan Zahid sebagai presiden parti.

“Cara paling mudah adalah dengan cetus khabar angin – bahawa Mohamad akan cabar Zahid untuk jawatan presiden, manakala proksi Zahid akan cabar Mohamad untuk jawatan timbalan presiden.

“Sama ada benar atau tidak, persepsi yang diwujudkan adalah dua pemimpin tertinggi Umno itu bersedia saling mencabar,” katanya.

Azmi berkata, langkah itu bertujuan menimbulkan tanggapan wujudnya konflik dalaman bagi melemahkan Zahid, walaupun beliau percaya hubungan Zahid dan Mohamad baik.

“Tiada tanda-tanda Mohamad mahu cabar Zahid, atau sebaliknya. Khabar angin itu bukan bertujuan memburukkan imej Mohamad, sebaliknya menggambarkan Zahid sebagai seorang yang tidak lagi boleh mengawal parti.

“Ini kerja sama ada mereka yang tidak suka Zahid dalam Umno, atau seteru politik dari luar parti,” katanya, yang lebih yakin seteru politik luar menjadi dalang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.