
Sumber berkata, suspek lelaki berusia 50-an ditahan kira-kira 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya.
Katanya, susulan penahanan itu suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi dan perintah reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 12 Julai dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada 2022 dengan membuat tuntutan palsu bagi perkhidmatan korporat penggabungan dua entiti syarikat sedangkan perkhidmatan tersebut tidak dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.