Representasi pegawai SPRM, ‘Datuk Roy’ kaji semula tuduhan rasuah ditolak

Representasi pegawai SPRM, ‘Datuk Roy’ kaji semula tuduhan rasuah ditolak

Tertuduh secara bersama minta suapan RM400,000 sebagai dorongan tidak reman anak bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Mohd Rasyidi Mohd Said, 44, dan Datuk Roy atau nama sebenarnya Mohd Hussein Mohd Nasir, 55, antara lain turut minta suapan RM240,000 daripada individu lain.
KUALA LUMPUR:
Jabatan Peguam Negara menolak representasi dikemukakan seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ahli perniagaan dikenali ‘Datuk Roy’ untuk mengkaji semula pertuduhan rasuah RM640,000 supaya anak bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin tidak direman SPRM.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin bahawa representasi dikemukakan Mohd Rasyidi Mohd Said, 44, dan Datuk Roy atau nama sebenarnya Mohd Hussein Mohd Nasir, 55, pada 1 Julai lepas telah ditolak semalam.

Suzana kemudian mengekalkan tarikh perbicaraan pada 8 dan 9 Ogos yang ditetapkan sebelum ini.

Pada prosiding sebutan itu peguam Ariff Azami Hussein mewakili kedua-dua tertuduh.

Rasyidi dan Hussein didakwa bersama-sama secara rasuah meminta untuk diri mereka atau bagi mana-mana orang lain suatu suapan wang tunai RM400,000 daripada Siti Dalena Berhan, 47, sebagai dorongan untuk tidak mereman Fakhri Yassin Mahiaddin semasa siasatan pihak SPRM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bangsar, antara 9 dan 11 malam, 5 Mac tahun lalu.

Mereka juga didakwa menerima suapan untuk diri mereka atau bagi mana-mana orang lain iaitu wang tunai RM240,000 daripada Syed Farid Syed Al Attas, 41, sebagai dorongan untuk tidak mereman individu sama semasa siasatan pihak SPRM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas, di sini, antara 2 dan 4 petang, 6 Mac tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hussein turut berdepan dengan satu lagi pertuduhan meminta rasuah RM2 juta untuk dirinya daripada Siti Dalena dan Syed Farid sebagai dorongan untuk menukarkan pertuduhan kepada yang lebih ringan, menukar keterangan tertuduh kepada saksi, dan mengurangkan wang jaminan terhadap kes pendakwaan yang dihadapi ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Melayu Kepong, pada Februari 2023 dan pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.