
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata pegawai kementeriannya akan berbincang dengan pegawai pelancongan mengenai bagaimana untuk membaiki SOP penguatkuasaan terhadap syarikat pelancongan dan bas persiaran.
“Kita akan mengadakan operasi besar-besaran terhadap semua bas, bermula dengan bas persiaran esok,” katanya dalam satu sidang media.
“SOP itu sendiri sudah diketatkan tetapi isu kini adalah pematuhan. Operator ini (kemalangan Genting Highland) tidak mematuhi syarat SOP kami, yang termasuk mengehadkan usia kenderaan.
“Ia melanggar semua syarat, dan ia menjadi masalah bila kita ada operator yang tidak bertanggungjawab.”
Loke mencadangkan syarikat pelancongan yang terbabit dengan kemalangan itu didakwa mengikut Seksyen 42(2) Akta Pengangkutan Darat kerana gagal mematuhi syarat lesen.
Seksyen itu memperuntukan hukuman penjara hingga dua tahun, denda maksimum RM500,000, atau kedua-duanya sekali.
“Jelas syarikat itu tidak mematuhi syarat lesen dengan membenarkan pemandu tanpa lesen menakala permit bas pula tamat pada 16 Feb lalu. Ia melanggar undang-undang, menyebabkan dua nyawa hilang, dan mencemarkan imej negara.”
Kemalangan pada pagi Sabtu lalu itu menyebabkan dua warga China Zhang Ping, 58, dan Wang Shuhong, 49, terbunuh. Kemalangan itu membabitkan seramai 18 pelancong asing, seorang pemandu bas, pembantu dan seorang pemandu pelancong.
Polis berkata pemandu bas berusia 3 tahun itu tiada lesen dan memiliki 27 saman trafik atas pelbagai kesalahan.
Lesen operasi syarikat pelancongan yang terbabit dengan kemalangan itu digantung oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.