RUU MTSB dijangka dibentang Jun, kata Loke

RUU MTSB dijangka dibentang Jun, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata Jemaah Menteri telah mempertimbangkan dan bersetuju secara dasar terhadap penubuhan MTSB.

anthony loke siew fook
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia memerlukan penggubalan akta khusus sebagai asas perundangan sebelum ia dapat dilaksanakan sepenuhnya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun ini, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Beliau berkata Jemaah Menteri telah mempertimbangkan dan bersetuju secara dasar terhadap penubuhan MTSB, yang memerlukan penggubalan akta khusus sebagai asas perundangan sebelum ia dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Loke berkata gerak kerja penubuhan MTSB kini sedang dimuktamadkan melalui perbincangan dengan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan, termasuk melibatkan penyelarasan peranan agensi sedia ada.

“Sekarang kita perlu drafkan RUU dan proses itu sedang berjalan. Cabaran kepada kita ialah bagaimana mengintegrasikan atau menstrukturkan semula peranan di beberapa agensi yang berkaitan umpamanya Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat hari ini.

Loke berkata semua fungsi berkenaan perlu disepadukan semula sejajar dengan pendirian kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang tidak menggalakkan pertambahan besar bilangan perjawatan baharu.

“Pendirian ini bertujuan meminimumkan implikasi kewangan kepada kerajaan dan ia menjadi antara cabaran dalam penubuhan badan baharu ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.