
Loke berkata kes kecurian kabel bukan sekadar jenayah kecil tetapi satu bentuk sabotaj yang menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan perkhidmatan pengangkutan.
“Kadang-kadang kecurian kabel dilihat sebagai kes kecil dan hanya dikenakan denda, tetapi kesannya amat besar kerana ia mengganggu operasi dan membahayakan keselamatan perkhidmatan,” katanya pada sidang media di Stesen LRT Ampang Park.
Beliau berkata perbuatan itu bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada operator seperti Prasarana Malaysia Berhad dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), malah memberi kesan langsung kepada pengguna pengangkutan awam.
“Kecurian kabel turut membabitkan risiko keselamatan yang serius kerana kebanyakan infrastruktur rel menggunakan sistem elektrik aktif.
“Ini bukan sekadar isu kecurian, tetapi satu tindakan sabotaj terhadap ketenteraman awam dan keselamatan. Kita tidak mahu perkara ini dipandang ringan,” katanya.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan akan meneliti keperluan meminda beberapa peruntukan undang-undang sedia ada bagi memperketat hukuman terhadap kes kecurian kabel, khususnya membabitkan projek strategik seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Katanya, perkara itu dipersetujui pada sesi pertemuan beliau dan menteri pengangkutan bersama pengendali perkhidmatan rel termasuk KTMB serta pihak ECRL, baru-baru ini.
“Dalam pertemuan itu kita bersetuju, ada keperluan mendesak untuk kita pinda balik akta yang berkenaan bagi mewujudkan orang kata mencegah kepada insiden (curi kabel),” katanya.