My50 kini papar nilai penjimatan, bantu maksimum penggunaan

My50 kini papar nilai penjimatan, bantu maksimum penggunaan

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata inisiatif itu bertujuan bantu pengguna memahami nilai sebenar pas My50.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook (tengah) ketika pelancaran ciri penjejak penjimatan My50 (Prasarana pic) 5226
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook (tengah) ketika pelancaran ciri penjejak penjimatan My50 dan pendigitalan pas Rapid Kota serta Rapid Kembara di Stesen LRT Ampang Park, Kuala Lumpur. (Gambar Prasarana)
KUALA LUMPUR:
Pengguna pas My50 kini boleh menjejak jumlah penjimatan sebenar dan mengoptimumkan penggunaan pengangkutan awam menerusi ciri baharu ‘penjejak penjimatan’ yang diperkenalkan melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata inisiatif itu bertujuan membantu pengguna memahami nilai sebenar pas My50, selain menggalakkan mereka menggunakan pengangkutan awam secara lebih menyeluruh.

“Setiap kali pengguna menggunakan My50 untuk perkhidmatan rel atau bas, sistem akan merekodkan perjalanan mereka dan memaklumkan sama ada penggunaan itu telah mencapai nilai RM50 atau belum,” katanya pada sidang media di Stesen LRT Ampang Park.

Menurut Loke, sekiranya penggunaan masih belum mencapai nilai RM50, penjejak itu akan memaklumkan jumlah perjalanan tambahan yang diperlukan untuk mencapai tahap ‘break-even’, sekali gus menggalakkan pengguna memaksimumkan pas bulanan berkenaan.

“Selepas melepasi RM50, pengguna pula boleh melihat jumlah penjimatan sebenar mereka, berapa banyak perjalanan yang telah dibuat serta berapa nilai yang telah dijimatkan sepanjang tempoh 30 hari,” katanya.

Beliau berkata ciri berkenaan turut memberi kesedaran kepada pengguna mengenai kos sebenar pengangkutan awam yang ditanggung kerajaan menerusi subsidi My50.

“Kos sebenar My50 adalah sekitar RM150 sebulan. Pengguna hanya membayar RM50, manakala kerajaan menanggung baki kira-kira RM100 bagi setiap pengguna setiap bulan,” katanya.

Menurutnya, secara purata kerajaan menyediakan subsidi kira-kira RM1,200 setahun bagi setiap pengguna My50, menjadikan inisiatif itu satu komitmen kewangan besar bagi memastikan pengangkutan awam kekal mampu milik.

“Tahun lalu sahaja, kerajaan membelanjakan hampir RM300 juta untuk menampung pelaksanaan My50. Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan menggalakkan rakyat beralih kepada pengangkutan awam,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata pendigitalan My50 menunjukkan perkembangan positif apabila lebih separuh pengguna kini memperbaharui pas secara digital, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kaunter fizikal.

“Lebih 50% pengguna kini menggunakan kaedah digital. Ini memudahkan pengguna, mengurangkan kesesakan di stesen dan melancarkan operasi keseluruhan sistem pengangkutan awam,” katanya.

Beliau berkata kerjasama antara Prasarana Malaysia Berhad dan Touch ‘n Go Digital membolehkan penambahbaikan itu dilaksanakan, sekali gus menjadikan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam lebih mudah dan lancar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.