
Langkah ini berikutan pewartaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 pada Februari, yang menghendaki kedua-dua produk tembakau dan vape dijual dalam bungkusan biasa atau standard. Akta tersebut bagaimanapun masih belum berkuat kuasa.
Penjual runcit produk itu berkata, sebaik sahaja undang-undang itu berkuat kuasa, kedai-kedai mungkin perlu menggelapkan tingkap dan mengeluarkan produk tersebut daripada rak jualan.
Danesa Nikita, yang bekerja di Pop dan Dope Vape, menjangkakan langkah-langkah ini akan menjejaskan jualan dengan ketara kerana kedai akan menjadi ‘kurang menarik’ kepada pelanggan.
“Apabila pelanggan tidak dapat lihat (produk), mereka secara amnya akan berasa agak gementar untuk masuk ke dalam (kedai).
“(Larangan pameran produk) akan memberi kesan kepada jualan dengan ketara dalam industri vape,” katanya kepada FMT.
Pengurus besar Ecovape Shafiq Ramli bersetuju, menjangkakan peruncit berdepan tugas berat untuk menarik pelanggan sebaik peraturan itu berkuat kuasa.
“Larangan pameran runcit pasti akan menjejaskan penampilan kedai dan perniagaan kami. Saya anggarkan pelanggan mungkin berkurangan kira-kira 20%,” katanya.
Pemilik Vapestry, Eezwan Lee berkata, penjual runcit akan terjejas teruk akibat perubahan yang dicadangkan itu.
“Kami pesan (produk) daripada pembekal dan pengedar, kemudian jual kepada pengguna. (Sekatan berhubung pembungkusan dan pameran) sebenarnya akan menyebabkan nilai produk itu merosot di mata pengguna dan penjual runcit,” katanya.
Beliau menggesa kerajaan mengadakan lebih banyak lagi perbincangan dengan pemain industri sebelum menguatkuasakan undang-undang tersebut, dan berharap penyelesaian alternatif dapat dicapai.
Pada Oktober 2022, World Vapers’ Alliance mengadakan tinjauan membabitkan 415 ahlinya di 36 negara mengenai perubahan peraturan di negara mereka dan mendapati kawalan yang lebih ketat mendorong 28% pengguna vape ke pasaran gelap.
Pada Mac, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, kementerian merancang mensyaratkan pembungkusan biasa bagi rokok dan pembungkusan ‘standard’ bagi rokok elektronik dan produk vape.
Perspektif perubatan
Pusat Advokasi Rawatan Ketagihan Lanjutan (Acata) berkata, langkah memperkenalkan pembungkusan standard untuk produk vape dan rokok elektronik mungkin tidak produktif dan membawa akibat yang tidak diingini.
Presidennya, Dr Arifin Fii berkata, idea sebalik pembungkusan standard adalah mengurangkan daya tarikan produk tembakau terhadap golongan muda dan mereka yang tidak pernah merokok sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau percaya, mengenakan peraturan serupa terhadap produk vape mungkin secara tidak sengaja akan menghalang perokok beralih kepada vape, alternatif yang kurang berbahaya.
“Pembungkusan standard (produk) vape menyamakannya dengan rokok, menimbulkan salah faham mengenai perbezaan asasnya.
“Ini berpotensi membawa kesan terbalik, yang mana pengguna vape mungkin kembali kepada rokok,” katanya.
Menerusi pembungkusan standard produk vape, kita terlepas peluang untuk mendidik perokok tentang potensi pengurangan bahaya vape yang ketara, tambahnya.
Arifin mencadangkan agar pembungkusan produk vape menggabungkan mesej mendidik yang menonjolkan sifat pengurangan bahaya produk itu.
“Sangat penting untuk bezakan produk ini daripada produk tembakau boleh bakar yang jauh lebih berbahaya dan boleh membawa maut, seperti rokok,” katanya.
Beliau berkata, kebimbangannya adalah berhubung kesan langkah ini terhadap golongan muda. Peraturan yang betul dan pendidikan yang lebih akan lebih berkesan dalam membendung tabiat menggunakan vape dalam kalangan golongan bawah umur, berbanding pembungkusan standard, tambahnya.
Menurut tinjauan Malaysian Vape Industry Advocacy pada 2021, 88% pengguna vape yang pernah menghisap rokok berjaya berhenti merokok dengan bantuan produk vape.