Malaysia ketinggalan dalam usaha kurang mudarat bagi perokok

Malaysia ketinggalan dalam usaha kurang mudarat bagi perokok

Seorang pakar kesihatan awam berkata pendekatan Malaysia utamakan pencegahan dan berhenti merokok, tetapi hanya sedikit alternatif disediakan bagi perokok yang sukar berhenti sepenuhnya.

smoking
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad pada 16 Dis lalu berkata kerajaan akan meneruskan pelaksanaan larangan penuh ke atas e-rokok dan produk vape. (Gambar Pixabay)
PETALING JAYA:
Seorang pakar kesihatan awam berkata, hanya sedikit usaha dilakukan untuk mengurangkan mudarat merokok, walaupun pelbagai dasar diperkenalkan bagi menggalakkan perokok menghentikan tabiat itu.

Dr Sharifa Ezat Wan Puteh turut berkata, dasar kawalan tembakau negara menawarkan pilihan terhad kepada perokok yang sukar berhenti sepenuhnya.

Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia itu memberitahu FMT, menerusi kempen anti-merokok selama bertahun-tahun, sistem penjagaan kesihatan Malaysia kurang menekankan pengurangan kerosakan akibat rokok konvensional, bentuk penggunaan nikotin paling berbahaya.

Keperluan langkah untuk mengurangkan mudarat akibat rokok konvensional menjadi semakin mendesak susulan larangan penuh ke atas rokok elektronik dan vape yang akan berkuat kuasa tahun depan.

Selama beberapa dekad, merokok kekal antara cabaran kesihatan awam berterusan di Malaysia.

Menurut Tinjauan Tembakau Dewasa Global (GATS) pada 2023, 19% rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas merokok secara tetap, 19.4% golongan dewasa bukan perokok terdedah kepada asap rokok di rumah dan 77.6% daripadanya menghadapi risiko sama ketika makan di restoran.

Di mana Malaysia ketinggalan

Sharifa berkata, walaupun dasar kawalan tembakau di Malaysia menekankan pencegahan dan usaha berhenti merokok, hanya sedikit pilihan disediakan kepada perokok yang bergelut menghentikan tabiat itu.

“Terapi gantian nikotin tradisional (seperti pelekat dan gula-gula getah) terbukti sebagai alternatif untuk berhenti merokok. Tetapi, bukti sebenar menunjukkan kadar penggunaan jangka panjang, pematuhan berterusan dan kejayaan berhenti masih agak rendah.”

Laporan dalam jurnal perubatan Nicotine and Tobacco Research menyatakan rokok elektronik secara umum kurang berbahaya berbanding rokok konvensional kerana mendedahkan pengguna kepada jumlah bahan kimia toksik jauh lebih sedikit dan berpotensi membantu perokok beralih sepenuhnya.

“Orang yang tidak merokok tidak patut menggunakan sebarang produk tembakau atau nikotin. Tetapi, kajian konsisten menunjukkan produk tanpa asap seperti vape sah, pek nikotin dan tembakau dipanaskan lebih selamat berbanding rokok tradisional.

“(Sebaliknya) rokok tradisional menghasilkan tar melalui pembakaran pada suhu tinggi dan tar adalah karsinogenik, bukannya nikotin,” kata Sharifa.

Untuk membantu perokok menghentikan tabiat itu, Malaysia banyak bergantung kepada kaunseling dan terapi gantian nikotin tradisional yang disediakan melalui program seperti JomQuit kendalian Kementerian Kesihatan.

Kesan larangan rokok elektronik dan vape

Sharifa berkata, larangan ke atas rokok elektronik dan vape mungkin mendorong sebahagian pengguna nikotin kembali kepada rokok tradisional atau beralih kepada vape atau tembakau haram, sekali gus menggalakkan perdagangan pasaran gelap.

Sementara itu, profesor sains kesihatan awam di Penn State University, Jonathan Foulds, menekankan piawaian produk untuk rokok elektronik dan vape perlu direka untuk benar-benar melindungi kesihatan awam, bukannya sekadar mengalihkan risiko ke tempat lain.

“Jika anda memperkenalkan piawaian produk, anda perlu bertanya kesannya dan sama ada orang lebih cenderung menggunakan produk lain, khususnya rokok, yang lebih berbahaya,” katanya pada sidang kemuncak rokok elektronik tahun ini di London.

Beliau berkata, tidak masuk akal melaksanakan piawaian lebih ketat ke atas produk yang kurang berbahaya berbanding produk lebih berbahaya kerana hasilnya jelas: orang akan beralih kepada produk lebih berbahaya.

Pengajaran dari negara lain

Negara seperti UK, New Zealand dan Sweden secara aktif menggabungkan pengurangan mudarat tembakau dalam dasar kesihatan awam serta menggalakkan alternatif nikotin lebih selamat.

Melalui pendekatan ini, Smoke Free Sweden melaporkan Sweden kini mempunyai salah satu kadar merokok terendah di Eropah, dengan hanya 4.5% orang dewasa kelahiran Sweden merokok.

Kadar merokok di New Zealand berkurangan hampir separuh sejak 2018, dan sekitar tiga juta perokok di UK berhenti menggunakan vape sebagai alternatif.

“Negara ini masih melaksanakan sekatan umur, kawalan kualiti, semakan pra-pasaran dan pengesahan kandungan.

“Program kawalan tembakau Malaysia menumpukan pencegahan merokok, mengurangkan permulaan dan menyokong perokok berhenti merokok. Tetapi, ada batasnya dan pendekatan baharu perlu memainkan peranan,” kata Sharifa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.