
Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) mungkin tidak begitu mendesak untuk dilaksanakan jika bukan kerana keputusan berkontroversi Zaliha.
“Kekecewaan saya berkisar arahan menteri kesihatan sebelum ini agar nikotin dalam vape dan rokok elektronik dikeluarkan daripada (senarai) bahan terlarang bawah Akta Racun,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen Azrul Khalib kepada FMT.
“Langkah ini menyebabkan vape dengan nikotin tersedia secara meluas untuk dibeli oleh kanak-kanak, dijual secara sah, dengan kepekatan nikotin yang tinggi.
“Ini mungkin menyebabkan peningkatan besar dalam bilangan pengguna baharu vape nikotin, kebanyakannya bawah umur, remaja dan wanita.”
Azrul menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi berhubung pelaksanaan Akta 852, yang mengharamkan penjualan dan pembelian produk tembakau dan pengganti tembakau kepada kanak-kanak bawah umur.
Walaupun menteri kesihatan semasa Dzulkefly Ahmad dan KKM memberi pelbagai jaminan, Azrul berkata, tiada petunjuk mengenai hasil yang diharapkan daripada peraturan bertujuan mengoperasikan undang-undang tersebut.
“Dasar dan peraturan tidak seharusnya jadi teka-teki atau dilihat sebagai bidang kuasa eksklusif kerajaan,” katanya.
Pada Sabtu, Dzulkefly berkata, beliau menjangkakan perundangan itu akan berkuat kuasa menjelang Oktober, selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) meluluskan peraturan dan perintah dibuat bawah akta induk itu.
Akta 852 diwartakan pada 2 Feb tetapi penguatkuasaannya terpaksa ditangguhkan sementara menunggu peraturan dimuktamadkan oleh KKM dan AGC.
Dua minggu lepas, Dzulkefly berkata, perbincangan dengan AGC berada pada peringkat akhir.
Sehingga undang-undang itu berkuat kuasa, penjualan produk vape nikotin kepada individu bawah usia 18 tahun kekal sah berikutan penyingkiran cecair nikotin daripada senarai racun hampir satu setengah tahun lepas.
Azrul bagaimanapun enggan menyalahkan KKM sepenuhnya berhubung kelewatan itu.
Katanya, kelewatan itu mungkin disebabkan oleh kesan langsung undang-undang itu terhadap kepentingan perniagaan pemegang taruh utama, ahli politik dan personaliti lain, yang perlu ditangani KKM.
Sementara itu, Persatuan Farmasi Malaysia sangat kecewa dengan kelewatan yang berlarutan berhubung pelaksanaan undang-undang baharu itu, memandangkan persatuan itu telah menggesa ia dikuatkuasakan pada Jun.
Presidennya, Amrahi Buang berkata, tidak boleh lagi ada penangguhan penguatkuasaan bagi mengelak tanggapan kerajaan tidak mengambil serius undang-undang baharu itu.
“Ia menghakis kepercayaan rakyat. Nampaknya seperti (tiada keperluan mendesak) kerana tiada (tindakan) pada masa ini, memberi imej buruk kepada kerajaan,” katanya.
Amrahi bagaimanapun tidak yakin dengan kemampuan kerajaan mencapai sasaran pelaksanaan pada Oktober, susulan kelewatan berlarutan dalam perbincangan antara KKM dengan AGC.
“(Pelaksanaan undang-undang itu) mungkin akan tertangguh hingga tahun depan,” katanya.