
Amirudin berkata, keputusan akan diumum selepas Exco Kesihatan Jamaliah Jamaluddin membentangkan kertas dasar terhadap cadangan itu kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Sama ada minggu ini atau minggu depan, kita akan memutuskannya berdasarkan hujah dan fakta yang kita ada,” katanya kepada pemberita.
Katanya, kerajaan negeri akan mengutamakan kesihatan awam dan generasi akan datang ketika menimbangkan kesan pengharaman produk vape.
“Kita juga akan membincangkan dengan pengendali (kedai menjual vape) dan pengeluar produk vape. Kebanyakan mereka berada di Selangor, jadi kita juga kena pertimbangkan (bagaimana larangan akan menjejaskan mereka).
“Namun, keutamaan kita sejak awal adalah kesihatan rakyat dan generasi masa depan. Kita perlu memastikan mereka tidak terpengaruh dengan tingkah laku yang akan memberi kesan negatif kepada kesihatan mereka,” katanya.
Terengganu, Perlis, dan Kedah telah mengambil langkah untuk mengharamkan penjualan vape dan rokok elektronik, mengikut jejak Johor dan Kelantan yang telah mengambil tindakan sedemikian sejak beberapa tahun lalu.
Pada 20 Mei, kerajaan Selangor mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan menyita dan menurunkan iklan berkait produk vape bertujuan mengekang penggunaan rokok elektronik, susulan mesyuarat negeri dipengerusikan Jamaliah.
Bulan lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata lebih banyak negeri sepatutnya melarang penjualan rokok elektronik dan vape kerana ia semakin dikaitkan dengan salah guna dadah sintetik baru.
Ayob berkata, pelajar seawal usia 13 tahun telah dikesan kerana menggunakan vape mengandungi bahan bercampur dadah, dan cecair vape dicampur fentanyl telah didapati memberi kesan 100 kali lebih kuat dan lebih berbahaya daripada morfin.