
Katanya, tambahan RM277 juta setahun juga perlu dibelanjakan untuk mematuhi peraturan-peraturan tersebut.
Dalam kenyataan, presiden persatuan itu, Wong Teu Hoon menyuarakan kebimbangan mengenai beban yang besar ke atas peruncit, terutamanya ketika menghadapi cabaran ekonomi semasa.
“Kosnya besar bagi peruncit, terutamanya dalam tempoh mencabar ini, dengan (nilai) ringgit yang semakin merosot, kos sara hidup semakin naik dan kos menjalankan perniagaan meningkat,” katanya.
“Siapa yang akan memikul beban langkah-langkah yang dicadangkan ini?” soalnya.
Beliau turut mendakwa, persatuan itu tidak dirujuk mengenai inisiatif itu.
Wong menyokong usaha Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengurangkan tabiat merokok tetapi katanya, penting juga untuk berunding dengan pihak berkepentingan dan mempertimbangkan pandangan mereka.
Beliau berkata, hampir 60% produk tembakau yang dijual di Malaysia ialah produk terlarang, dan larangan pameran dan langkah pembungkusan biasa akan menggiatkan perdagangan produk-produk sedemikian.
“(Langkah ini) akan mengaburkan persepsi orang ramai mengenai perbezaan antara produk tembakau yang sah dengan yang terlarang, memandangkan wujudnya trend produk terlarang dijual ‘sembunyi-sembunyi’ oleh peruncit yang tidak patuh.
“Dengan pembungkusan biasa, sukar untuk membezakan antara produk sah dengan yang terlarang dengan pembungkusan biasa. Ini akan menimbulkan cabaran kepada peruncit dan agensi penguatkuasaan untuk memastikan kesahihan produk,” kata Wong.
Pada 14 Mac, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni mengumumkan di Dewan Rakyat cadangan kerajaan untuk menguatkuasakan pembungkusan rokok biasa, bersama peraturan untuk pembungkusan vape.
Pembungkusan biasa bertujuan menyeragamkan rupa pek rokok. Nama jenama akan dicetak menggunakan fon biasa dan warnanya akan diseragamkan, tanpa ciri reka bentuk yang unik.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad memaklumkan kepada Dewan Rakyat pada Isnin bahawa draf peraturan bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.