Berlumuran darah, Sarjan Hasif nekad hentikan penyerang

Berlumuran darah, Sarjan Hasif nekad hentikan penyerang

Walaupun cedera ditembak, Hasif Roslan menjejaki penyerang yang telah menetak rakan sepasukan sehingga meninggal dunia.

balai polis ulu tiram
Dua anggota meninggal dunia dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei lalu.
KUALA LUMPUR:
Semangat juang sebagai anggota polis mendorong Sarjan Mohd Hasif Roslan menghentikan kejadian tembakan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor meskipun cedera, ketika kejadian 17 Mei lepas.

Berdepan situasi getir, Hasif yang bertugas di bahagian ronda cegah jenayah meletakkan diri dalam bahaya ketika berhadapan penyerang, yang telah menetak rakan sepasukan sehingga meninggal dunia.

Menceritakan kejadian, Hasif, 38, segera ke balai selepas keluar meronda pada 2.30 pagi apabila menerima arahan daripada ketua balai.

“Apabila sampai di balai, saya terlihat ada sekujur tubuh kaku di sebelah berek sebelum dimaklumkan itu ialah rakan setugas yang telah ditetak.

“Rakan turut memberitahu balai diserang tetapi suspek tidak kelihatan ketika itu… tiba-tiba, penyerang melepaskan tembakan ke arah kami dan terkena bahagian bahu dan pinggul saya,” katanya ketika ditemui selepas majlis pemakaian pangkat di Pusat Latihan Polis semalam.

Berpantang maut sebelum ajal, Hasif bersama tiga rakan menjejaki penyerang terbabit.

Dalam keadaan cedera dan berlumuran darah, Hasif melepaskan beberapa das tembakan ke arah penyerang.

Hasif kemudian dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

“Apabila sampai di hospital, saya terus hubungi isteri dan maklumkan keadaan kerana tidak mahu dia dan anak-anak risau,” katanya.

Hasif cedera di bahagian bahu dan pinggul kiri dalam kejadian 2.45 pagi itu.

Selepas hampir sebulan kejadian itu, Hasif masih menerima rawatan secara berkala, namun tidak pernah luntur semangatnya untuk terus menabur bakti dalam pasukan polis.

Beliau yang sudah 14 tahun berkhidmat berkata sudah menjadi lumrah untuk berkhidmat kepada masyarakat walaupun berdepan cabaran dan dugaan.

“Perkara ini lumrah dalam polis, selagi boleh berkhidmat kita terus berkhidmat,” katanya.

Hasif merupakan seorang daripada tiga anggota Balai Polis Ulu Tiram yang menerima kenaikan pangkat secara medan semalam yang disampaikan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau menerima kenaikan pangkat sarjan, manakala dua lagi anggota iaitu Konstabel Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa dan Lans Koperal Muhammad Aznel Salleh masing-masing dinaikkan pangkat koperal.

Selain itu, dua anggota polis yang terkorban dalam kejadian itu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said masing-masing dinaikkan pangkat koperal secara posthumous.

Azza dan Syafiq meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang.

Susulan kejadian, polis menahan lima ahli keluarga suspek berumur 19 hingga 62 tahun mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.