TH beri komitmen kepada pasukan khas tangani penipuan

TH beri komitmen kepada pasukan khas tangani penipuan

Lembaga Tabung Haji akan salur segala maklumat yang diperlukan untuk siasatan.

mekah-mecca
Isu jemaah haji terkandas, penipuan pakej haji, dan kesalahan penggunaan visa boleh melibatkan pelanggaran peruntukan di bawah undang-undang berbeza dan di bawah bidang seliaan pihak berkuasa berbeza.(Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Lembaga Tabung Haji (TH) menyatakan komitmen penyertaan mereka dalam pasukan petugas khas bagi menangani isu jemaah haji terkandas dan penipuan pakej haji, yang ditubuhkan polis.

Ketua Pegawai Eksekutif Syed Hamadah Syed Othman berkata TH akan menyalurkan segala maklumat yang diperlukan untuk siasatan, mengikut kuasa dan lunas undang-undang.

“Matlamat pasukan petugas khas adalah untuk menangani isu ini sebaik mungkin secara bersepadu, sekali gus membantu menghentikan kesalahan dan kes penipuan berkaitan urusan haji di negara ini secara tuntas,” katanya dalam kenyataan.

Syed Hamadah menjelaskan isu berkaitan jemaah haji terkandas, penipuan pakej haji, dan kesalahan penggunaan visa boleh melibatkan pelanggaran peruntukan di bawah undang-undang berbeza dan di bawah bidang seliaan pihak berkuasa dan agensi yang berbeza.

Ini termasuklah TH dan polis; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; dan pihak berkuasa Arab Saudi, katanya.

Pada 30 Mei lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, memaklumkan polis menubuhkan pasukan petugas khas yang akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan diambil.

Pasukan petugas khas ini berperanan menyiasat dan melakukan tindakan awal terhadap sebarang aduan berkaitan isu tersebut, supaya ia dapat ditangani dengan lebih efisien dan berkesan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.