
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata berdasarkan siasatan pihaknya, suspek turut mengintai beberapa rumah lain untuk dimasuki sebelum memilih untuk merompak rumah Khuzaimi.
“Rumahnya bukan menjadi ‘target’ sebab pemiliknya pemain bola sepak, ia hanya kebetulan sahaja. Tidak ada kena-mengena dengan isu pemilik rumah (yang merupakan) pemain bola sepak.
“Suspek fikir rumah pemain bola sepak terbabit kurang risiko berbanding rumah lain apabila dilihat tiada sesiapa di dalam rumah, maka itu sebab mereka pecah masuk kediaman terbabit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Taman Angkat Aman Wanita Polis Kontinjen Selangor 2024 di Taman Rakan.
Pada 22 Mei, rumah Khuzaimi dipecah masuk ketika beliau keluar menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor.
Ekoran kejadian itu, Khuzaimi kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama, dan pasport antarabangsanya.