
Individu pekak dan bisu itu tiba di Bukit Aman, kira-kira 10.45 pagi.
Peguam Lawyer For Liberty terdiri daripada N Surendran dan Latheefa Koya yang mewakili mangsa turut hadir, lapor Sinar Harian.
Pada 29 Mei, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Zain, pada sidang media berkata seorang pengiring kenamaan disiasat selepas didakwa menyerang pemandu itu, dalam kejadian pada 28 Mei.
Bagaimanapun, pada tarikh sama, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa, berkata pemandu e-hailing berkenaan membuat laporan kedua bahawa dia telah menyelesaikan perkara itu secara baik.
Katanya, laporan dibuat pada 9.59 malam itu menyatakan kejadian berlaku akibat salah faham arahan mengalihkan kenderaan dan pengadu tidak mahu memanjangkan kes.
Beliau berkata, kes itu sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.
Semalam, Grab memohon pampasan insurans daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk pemandu orang kurang upaya yang didakwa dipukul, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.