
Presidennya Razali Mohd Sham berkata langkah itu bagi mengelak berlakunya salah faham sehingga menimbulkan kegusaran orang ramai termasuk mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan umrah dan haji melalui agensi swasta pada masa depan.
Tegasnya, pihaknya telah memohon bertemu Tiong King Sing atau timbalannya Khairul Firdaus Akbar Khan untuk menjawab kekeliruan sehingga Motac mahu mempertimbangkan menarik balik lesen agensi pelancongan terbabit.
Razali mendakwa penularan 300 bakal jemaah haji Malaysia di Makkah itu disifatkan tidak betul, dianggap cuba memburukkan agensi swasta yang menawarkan pakej umrah serta haji dan membabitkan jemaah yang menjalankan umrah pada Syawal lalu.
“Tiket penerbangan, penginapan dan pengangkutan semua ada, mereka pergi dengan visa pelancongan dan boleh masuk ke Makkah sampai 2 Zulkaedah (musim Haji bermula)…jadi mana yang terkandas.
“Ada propaganda nak rosak nama agensi pelancongan swasta, yang keluarkan visa haji adalah kerajaan Arab Saudi…kalau dapat tiada isu pun,” katanya kepada FMT.
Baru-baru ini tular di media sosial kira-kira 300 bakal jemaah haji Malaysia terkandas di Makkah kerana dikatakan menggunakan visa pelancong untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
Susulan itu, Motac menegaskan pihaknya akan membatalkan serta-merta lesen agensi pelancongan yang didapati terlibat menyalahgunakan visa pelancong dan umrah untuk ibadat haji.
Dalam perkembangan sama, Razali mencadangkan Tabung Haji menggunakan sepenuhnya kuota termasuk tambahan dari Arab Saudi supaya lebih ramai rakyat Malaysia dapat ke tanah suci tanpa menunggu tempoh lama.
“Ramai yang tak dapat pergi dengan TH menyebabkan mereka pilih swasta,” katanya.
Seramai 31,600 rakyat Malaysia akan menunaikan ibadat haji pada tahun ini, berdasarkan kuota yang telah diberikan Arab Saudi.