Persatuan umrah gesa pihak berkuasa selaras harga lantai untuk lindungi jemaah

Persatuan umrah gesa pihak berkuasa selaras harga lantai untuk lindungi jemaah

Papuh kata ketiadaan harga lantai tetap menyebabkan ada ejen tetap 'harga tak masuk akal' sehingga jemaah tertipu.

mekah haji umrah
Pakej umrah berharga antara RM4,000 hingga RM5,000 disifatkan ‘tidak masuk akal’ oleh pengusaha memandangkan kenaikan kos seperti tiket kapal terbang serta hotel. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Persatuan umrah menggesa penyelarasan lebih baik berhubung penetapan harga lantai antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi melindungi kepentingan pengusaha dan jemaah.

Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) berkata empat tahun lalu Motac menetapkan harga lantai RM6,900 bagi pakej umrah untuk 12 hari dan 10 malam, naik daripada RM4,900 untuk menampung kenaikan kos operasi pasca Covid-19.

Namun media melaporkan Papuh dalam mesyuaratnya dua tahun lalu menetapkan harga lantai RM7,800 bagi pakej umrah ekonomi manakala RM14,000 untuk premium susulan kenaikan harga tiket penerbangan dan hotel penginapan di Madinah dan Makkah.

Namun, Pengerusi Razali Md Sham mendakwa berlaku perubahan selepas siasatan MyCC pada September tahun lalu terhadap 81 pengendali yang berpunca perjanjian penetapan harga bagi penyediaan perkhidmatan perjalanan umrah.

MyCC dipetik berkata perlakuan kartel mereka boleh dianggap pelanggaran di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

“Semua syarikat ikut arahan Motac disiasat dan kementerian itu tidak boleh berbuat apa-apa,” dakwa Razali kepada FMT.

Razali mendakwa kesannya ada segelintir pengusaha tidak mengikut garis panduan harga lantai dan menetapkan pakej murah yang tidak masuk akal, didakwanya antara punca penipuan semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

“Kalau pakej itu RM6,500 ke atas mungkin ok, tapi kalau RM4,000 ke RM5,000 itu nampak tipu.

“Sebab tiket penerbangan sahaja RM3,500 belum termasuk visa, kalau murah memang ada tak kena,” katanya mengulas insiden 43 jemaah terkandas di Jeddah selepas sebuah syarikat pengendali umrah gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia.

Difahamkan kegagalan itu disebabkan syarikat pengendali umrah terbabit mempunyai masalah kewangan.

FMT telah menghubungi MyCC untuk mengulas dakwaan Razali itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.