
“Apabila sebuah syarikat dibubarkan, ia seolah-olah tidak wujud lagi. Itu bahagian paling mengecewakan. Kami telah mendapat penghakiman memihak kepada kami, tetapi syarikat itu tiada lagi untuk membayar anak guam saya,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, hanya agensi pelancongan itu yang dipertanggungjawabkan secara sah, bukan pengarah atau ejen syarikat.
“Kami turut menyenaraikan individu dikaitkan dengan syarikat itu, termasuk pengarah dan ejen, sebagai defendan tetapi mahkamah memutuskan kontrak hanya dengan syarikat.

“Di mahkamah sivil, tiada apa lagi yang kami boleh dilakukan. Apa yang masih boleh dilakukan ialah pihak berkuasa mendakwa pihak bertanggungjawab.”
Semua 25 jemaah itu membayar RM795,000 untuk pakej masing-masing, yang disertakan jaminan bayaran balik penuh.
Pada Ogos 2019, 15 daripadanya bertolak ke Jeddah selepas menerima apa yang mereka sangka sebagai e-visa haji Furada sah, manakala 10 lagi tidak berbuat demikian kerana gagal mendapatkan visa.
Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz pada 5 Ogos 2019, 15 jemaah itu ditahan 24 jam selepas pegawai imigresen mendapati e-visa mereka memaparkan identiti berbeza.
Mereka diarahkan pulang ke Malaysia pada 7 Ogos dan wajib melaksanakan Tahallul Ihsar kerana tidak dapat menyempurnakan ibadah haji diniatkan.
Khairun berkata, ada mangsa yang menerima bayaran balik sebahagian wang mereka sebelum tindakan undang-undang dimulakan, tetapi pembayaran terhenti selepas saman difailkan.
“Selepas kami menyaman, bayaran ansuran terhenti. Ada anak guam saya yang langsung tidak menerima apa-apa.”
Pada Mac 2024, Mahkamah Tinggi memutuskan 25 jemaah itu berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap agensi pelancongan berkenaan dan mengarahkan syarikat terbabit memulangkan RM634,000.
Hakim Alice Loke turut menolak tuntutan balas syarikat itu yang menuntut ganti rugi RM479,350 serta mengarahkannya membayar kos sebanyak RM75,000.