Dana TH 100% diurus Bumiputera-Muslim

Dana TH 100% diurus Bumiputera-Muslim

Ketua Pegawai Eksekutif Mustakim Mohamad berkata orang awam diseru tidak percaya atau berkongsi sebarang maklumat tidak dapat dipastikan kesahihan sumber.

tabung haji
CEO TH Mustakim Mohamad, berkata inisiatif penjenamaan memerlukan pelbagai sokongan teknikal yang kompleks dibekalkan konsortium dibentuk TH.
PETALING JAYA:
Tabung Haji (TH) nafi simpanan jemaah haji diuruskan bukan Muslim susulan penularan video menyeru orang Islam mengeluarkan tabungan.

Ketua Pegawai Eksekutif Mustakim Mohamad, berkata pengurusan TH dan urusan ibadat haji tetap dikendalikan oleh pasukan pengurusan yang 100% Bumiputera-Muslim.

Beliau menyeru orang awam tidak mempercayai atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihan sumbernya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, berkata laporan telah dibuat kepada pihak berkuasa berhubung video di media sosial, yang menggesa umat Islam mengeluarkan simpanan mereka daripada TH, susulan kebimbangan mengenai usaha penjenamaan semula institusi itu.

Ahli Parlimen Tampin Isam Isa telah menyuarakan kebimbangan mengenai penyebaran maklumat tidak benar dalam kumpulan WhatsApp dalam kalangan penduduk kampung, termasuk dakwaan TH diuruskan bukan Islam.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary ada mempersoalkan mengapa langkah penjenamaan dibuat syarikat bukan Muslim.

Namun, Na’im berkata pelantikan syarikat tersebut dibuat dengan cara yang ‘sama dengan pelantikan korporat lain’.

Mustakim berkata, inisiatif penjenamaan memerlukan pelbagai sokongan teknikal yang kompleks dibekalkan konsortium dibentuk TH.

“Pelaksanaan pelan penjenamaan ini adalah usaha untuk memperkasakan semula peranan TH sebagai institusi simpanan Islam yang dihormati agar umat Islam dapat mengembangkan simpanan mereka.

“TH perlu menjadi sebuah institusi simpanan yang berpaksikan pelanggan dan ini memerlukan evolusi strategi operasi dan jenama yang relevan, efektif, dan bersesuaian dengan perubahan demografi yang dinamik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.