Kos haji 2026 diumum 22 Okt

Kos haji 2026 diumum 22 Okt

Surat tawaran pula akan diedarkan kepada bakal jemaah haji selepas pengumuman oleh Pengerusi TH Abdul Rashid Hussain.

jemaah haji mekah
TH ambil langkah proaktif memastikan jemaah haji yang mendapat giliran tahun ini tidak menolak termasuk mengenal pasti keberadaan bakal jemaah dan mengemas kini data lebih awal. (Gambar Bernama)
ALOR GAJAH:
Kadar kos rasmi menunaikan haji musim 2026 akan diumumkan Lembaga Tabung Haji (TH) pada 22 Okt ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, sementara surat tawaran pula akan diedarkan kepada bakal jemaah haji selepas pengumuman tersebut oleh Pengerusi TH Abdul Rashid Hussain.

“Kadar kos ini sama ada meningkat atau kekal penting bagi membolehkan proses pengeluaran surat tawaran kepada bakal haji dilakukan dan kita akan pastikan ia tidak membebankan mereka yang terpilih itu nanti.

“Ini kerana kita mahu peratusan mereka yang menolak tawaran haji itu akan dapat dikurangkan kerana mereka yang ditawarkan giliran tetapi menolak pada 2025 agak ramai,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Perasmian Program Kampung Angkat Menteri-menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims) di Dewan Terbuka Kampung Pulau, Masjid Tanah.

Na’im berkata, TH turut mengambil langkah proaktif memastikan jemaah haji yang mendapat giliran tahun ini tidak menolak tawaran termasuk mengenal pasti keberadaan bakal jemaah tersebut dan mengemas kini data dengan lebih awal.

Katanya, semua langkah itu bagi memastikan bakal jemaah bersedia sebaiknya dari aspek kewangan, fizikal dan mental sebelum menunaikan haji.

“Ia juga dapat memastikan tidak berlaku ‘kerugian’ pada kuota yang telah ditetapkan dengan setakat ini seramai 31,600 orang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.