
Presidennya, Nigel Wong, berkata agensi pelancongan tidak melaporkan pembatalan tempahan perjalanan yang ketara, walaupun ada pelancong mungkin menangguhkan rancangan mereka.
“Kami jangka ada pelancong yang mungkin menangguhkan perjalanan mereka ke tarikh lain sementara menunggu perkembangan situasi di Indonesia. Kami tidak akan terkejut jika itu berlaku.
“Kami jangka tidak ada kesan besar kepada agensi pelancongan tempatan, melainkan berlakunya peningkatan kekacauan atau situasi terus berlarutan,” katanya kepada FMT.
Indonesia kekal sebagai salah satu destinasi pelancongan serantau popular rakyat Malaysia, dengan Bali, Jakarta, Bandung dan Medan antara bandar paling kerap dikunjungi.
Protes yang bermula minggu lalu berpunca daripada kenaikan elaun Ahli Parlimen dan memuncak selepas sebuah kenderaan polis melanggar serta menyebabkan kematian seorang penghantar makanan berusia 21 tahun, Affan Kurniawan, pada Khamis.
Bantahan kemudian merebak dari Jakarta ke bandar utama lain, termasuk Yogyakarta, Bandung, Semarang dan Surabaya di Jawa, serta Medan di Sumatera Utara, rusuhan terburuk sejak Presiden Prabowo Subianto berkuasa.
Kedutaan Malaysia di Jakarta menasihati rakyat Malaysia di Indonesia supaya berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Setakat ini, tiada rakyat Malaysia termasuk pelajar yang terjejas akibat protes berkenaan.