
Beliau yang menaiki kenderaan jenis Lexus 350 terselamat dalam kejadian itu, namun kereta peronda polis jenis Proton X70 yang mengiringinya mengalami kerosakan pada bahagian cermin belakang dan bonet dihempap pokok tersebut.
Setiausaha Akhbar Ketua Menteri Ezlyn Fardiha Zainal berkata kejadian berlaku kira-kira 3.30 petang semasa rombongan Rauf sedang dalam perjalanan dari Melaka untuk menghadiri mesyuarat di ibu kota.
“Ketika melalui jalan berkenaan sebatang pokok telah tumbang betul-betul di hadapan kereta yang membawa beliau dan menghempap bahagian belakang kereta peronda polis jenis Proton X70 yang mengiringinya,” katanya.
Sementara itu, video kejadian berkenaan tular di media sosial, menunjukkan sebuah kenderaan mewah jenis Vellfire berwarna merah rosak ditimpa pokok.
Difahamkan pihak berkuasa bertindak menutup jalan itu bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan.
Dalam pada itu, Rauf dalam mesej suara WhatsApp kepada pemberita berkata ketika kejadian, kenderaan dinaikinya tidak bergerak berikutan keadaan cuaca tidak mengizinkan.
Beliau berkata kenderaan polis yang mengiringinya pula baharu melintasi kawasan kejadian namun malang menimpa apabila ia dihempap pokok.
“Alhamdulillah saya berada dalam keadaan yang selamat dan kita berharap agar pihak berkuasa dapat memantau pokok-pokok berada di sekitar bandar raya ini,” katanya.