Tukar Sulaiman atas alasan kesihatan meragukan, kata Adun PN

Tukar Sulaiman atas alasan kesihatan meragukan, kata Adun PN

Adun Sungai Udang, Aleef Yusof berkata, bekas ketua menteri itu kelihatan sihat dan tidak menunjukkan tanda sakit membimbangkan sepanjang sidang DUN Melaka.

Adun Sungai Udang, Aleef Yusof (kiri) menggesa Sulaiman Md Ali membuat penjelasan lanjut berhubung keputusannya melepaskan jawatan ketua menteri Melaka.
PETALING JAYA:
Adun Sungai Udang, Aleef Yusof menyifatkan keputusan menukar Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri Melaka atas alasan kesihatan meragukan.

Adun Perikatan Nasional itu berkata, ketika bertemu dan mengikuti sidang DUN Melaka, Sulaiman kelihatan sihat dan tidak menunjukkan tanda sakit yang membimbangkan.

“Ini jelas satu penipuan besar daripada Ahmad Zahid Hamidi. Jika Zahid fikir dia boleh menipu rakyat Melaka sebagaimana kebiasaannya dia menipu ahli-ahli Umno sebelum ini, maka dia membuat kesilapan besar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menggesa Sulaiman membuat penjelasan lanjut berhubung perkara itu.

“Pada PRN akan datang, sudah pasti perubahan besar bakal berlaku dek kerana kemarahan dan kekecewaan rakyat Melaka atas apa yang berlaku ini.

“Saya mengingatkan mereka agar telus kepada rakyat yang ternyata begitu kecewa dan marah. Respons rakyat tidak baik ketika ini.”

Ketua Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Melaka ke-13 di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Ali Rustam petang tadi.

Rauf dilantik menerajui Melaka susulan peletakan jawatan Sulaiman.

Sulaiman kali pertama mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Melaka pada Mac 2020, selepas Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan dan kerajaan Melaka.

Beliau sekali lagi dilantik ke jawatan itu selepas BN menang besar dalam PRM Melaka pada November 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.