KM Melaka mungkin berdepan undi tak percaya, menurut laporan

KM Melaka mungkin berdepan undi tak percaya, menurut laporan

Khabar angin turut mendakwa Ab Rauf Yusoh cuba menawarkan jawatan kepada ADUN untuk meraih sokongan mereka dalam usahanya menjadi ketua menteri.

Sebelum ini, Sulaiman Md Ali dilaporkan berkata, khabar angin mendakwa beliau melepaskan jawatan ketua menteri Melaka bertujuan mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali mungkin berdepan undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bersidang mulai 25 Julai ini.

Menurut sumber, Ketua Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh berhasrat mengambil alih jawatan itu daripada Sulaiman, lapor Sin Chew Daily.

Spekulasi berhubung pertukaran kepimpinan di Melaka timbul sejak pilihan raya negeri November 2021.

Rauf, ADUN Tanjung Bidara, dikaitkan dengan usaha merampas jawatan itu, tetapi sudah beberapa kali menafikannya.

Menurut laporan, beliau dikatakan mendekati beberapa wakil rakyat kerajaan untuk meraih sokongan bagi mengusulkan undi tidak percaya.

Rauf kini ialah exco perindustrian, pelaburan dan pembangunan usahawan Melaka.

Pada 21 Mei lalu, Sulaiman menafikan sudah melepaskan jawatannya selepas seorang ketua bahagian Umno mendakwa ADUN Lendu itu dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan.

Sulaiman berkata, dakwaan itu tidak benar dan berniat mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri pimpinannya sejak Barisan Nasional memenangi pilihan raya negeri pada November 2021.

Sulaiman pernah dilantik sebagai exco ketika BN menerajui kerajaan Melaka dari 2013 hingga 2018 dan menjadi ketua menteri pada Mac 2020, sebagai ketua kerajaan Umno-PN yang dibentuk selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.