
Ketuanya Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, pemilihan Sulaiman sebagai ketua menteri Melaka ke-13 selaras dengan janji yang dibuat jika Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya negeri (PRN) Melaka, malah ia diumum sendiri Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan sebelum pilihan raya, dan dipersetujui semua ketua bahagian.
Katanya, isu pelantikan ketua menteri tidak sepatutnya berlaku kerana rakyat telah memberi mandat kepada BN memerintah dan tumpuan seharusnya dalam usaha menunai segala janji manifesto.
“Situasi ini tidak sepatutnya berlaku kerana selepas rakyat memberi mandat kepada BN untuk kembali memerintah negeri ini, kita seharusnya memberi tumpuan untuk menunaikan janji-janji dalam manifesto BN.
“Lebih penting tumpuan kita ke arah menyiapkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Ridhwan menegaskan, jika benar Sulaiman dipaksa meletak jawatan beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti untuk menyelesaikan perkara tersebut.
“Saya tetap berpendapat, sewajarnya Sulaiman terus kekal menerajui pentadbiran negeri ini sehingga habis penggal,”katanya.
Sebelum ini pemangku Ketua Umno bahagian Alor Gajah, Rospandi Leman, dilapor tidak menafikan khabar angin khabar angin yang mendakwa Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan dalam masa terdekat, dianggap sengaja diadakan pihak tidak bertanggungjawab.
Kenyataan itu susulan dakwaan dimuat naik di sebuah akaun Facebook kononnya Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai ketua menteri Melaka.
Sementara itu, Ketua Umno bahagian Tangga Batu, Mohamad Ali Mohamad, turut menafikan khabar angin mendakwa Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai ketua menteri serta menganggap ia sebagai fitnah dan tidak berasas.
Sulaiman yang juga Adun Lendu mengangkat sumpah jawatan ketua menteri Melaka ke-13 pada 21 Nov tahun lalu selepas BN menangi 21 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka.