
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata NSRC yang ditubuhkan sejak tahun lalu itu dikesan dimanipulasi sindiket penipuan untuk memperdaya mangsa.
Katanya lelaki yang mengaku “pegawai” NSRC itu akan menghubungi mangsa dan memaklumkan nombor telefon mangsa akan dibatalkan susulan aduan ia digunakan dalam aktiviti penipuan.
“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang menyamar pegawai polis dan mangsa diarah mengikuti semua arahan sehinggalah membuat pindahan wang ke akaun bank ditetapkan,” katanya menurut Bernama.
Ramli mengingatkan orang ramai tidak mudah terpedaya panggilan mendakwa dari NSRC kerana pusat panggilan itu hanya menerima panggilan daripada orang ramai dan tidak pernah membuat panggilan kepada mana-mana individu.
Beliau menggesa mangsa segera menghubungi NSRC di talian 997 untuk membuat laporan.
NSRC ditubuhkan hasil usaha sama polis, Bank Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional serta institusi kewangan sebagai pusat operasi bagi menyelaras tindak balas pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian, khasnya mengesan pemindahan wang.