
Ketua Polis Wangsa Maju, Lazim Ismail, berkata mereka yang merupakan warga tempatan ditahan pada 11 dan 12 Jan, berusia antara 28 hingga 46 tahun.
Tangkapan menyusuli laporan daripada mangsa, iaitu seorang penuntut wanita berumur 18 tahun, pada 10 Jan.
Mangsa mendakwa dihubungi individu memperkenalkan diri sebagai ACP dari Bukit Aman, dan dimaklumkan terlibat kes pengubahan wang haram dan perlu menyerahkan barangan berharga untuk siasatan.
“Mangsa yang terperdaya mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM70,000,” katanya pada sidang media di IPD Wangsa Maju.
Polis merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah termasuk sebuah kereta, beg tangan, telefon bimbit, barangan kemas, wang tunai RM560 serta dua ketulan emas seberat 172.77 gram.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM132,360 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Seorang daripada suspek didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan, manakala dua lagi dijadikan saksi pendakwaan.
Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon mencurigakan dan tidak panik walaupun pemanggil mengaku sebagai pihak berkuasa.
“Polis menegaskan sebarang urusan rasmi memerlukan kehadiran fizikal di balai polis atau IPD dan tidak akan diselesaikan melalui panggilan telefon semata-mata,” katanya.
Orang awam dinasihatkan tidak menyerahkan wang, barangan berharga atau maklumat peribadi kepada pihak tidak dikenali serta membuat semakan akaun dan nombor telefon melalui laman sesawang ccid.rmp.gov.my/semakmule/.