
Ketua Polis Terengganu, Mohd Khairi Khairudin, berkata lelaki 64 tahun itu dihubungi sindiket penipuan menyamar sebagai polis dan timbalan pendakwa raya.
Menurutnya, mangsa dikatakan terbabit kes pengubahan wang haram dan RM2,707,965 perlu dimasukkan ke akaun dirinya untuk menyelesaikan kes itu.
Bermula September lalu hingga awal bulan ini, katanya, mangsa tidak dibenarkan membuat sebarang transaksi ke akaun bank lain, kecuali akaun yang diberikan suspek.
Beliau berkata, mangsa juga tidak dibenarkan memeriksa transaksi akaun banknya sepanjang tempoh itu.
“Sebanyak 55 transaksi dalam talian dan deposit tunai dilakukan mangsa ke lima akaun bank yang diberikan suspek kononnya bagi menyelesaikan kes itu,” katanya menurut Harian Metro.
Khairi berkata, mangsa yang menyedari ditipu selepas membuat semakan dengan agensi berkaitan, membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu semalam.
Beliau menasihatkan orang ramai peka terhadap sebarang panggilan telefon diterima dan tidak sewenang-wenangnya mempercayai apa yang dikatakan pemanggil.
“Semakan juga boleh dibuat melalui pihak berkuasa berkait sebarang dakwaan dibuat pemanggil bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan melalui panggilan telefon,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.