Hantaran lambaian ‘akhir’ untuk HOM-AW139 sentuh hati warganet

Hantaran lambaian ‘akhir’ untuk HOM-AW139 sentuh hati warganet

Helikopter itu antara 2 pesawat dihantar Skuadron 503 untuk menyertai latihan sempena perbarisan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 di Lumut.

Kru Skuadron 503 melambai ke arah 2 pesawat termasuk Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) yang terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, pagi tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Hantaran di Facebook memaparkan gambar lima kru udara Skuadron 503 melambai ke arah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) menyentuh hati warganet selepas pesawat terbabit terhempas hari ini.

Helikopter itu dilaporkan berlanggar dengan helikopter Fennec sebelum terhempas dalam kejadian di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, pagi tadi.

Dalam hantaran di Facebook 503 Squadron bertarikh 19 Apr, pasukan berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah itu menghantar dua pesawat, termasuk HOM-AW139, ke Lumut untuk menyertai latihan dan raptai sempena perbarisan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 dijadualkan 3 hingga 5 Mei depan.

Ia turut disertai sembilan kru udara dan 11 juruteknik pesawat.

Satu daripada empat gambar dimuat naik di media sosial itu memaparkan lima kru melambai ke arah dua pesawat terbabit dengan keterangan menyentuh hati.

“Lambaian penuh makna daripada sebahagian kru yang tinggal, selepas ini mereka mungkin boleh balik awal selalu? Entah, min masih mampu bersangka baik.”

Selain itu, pengendali Facebook itu turut memuat naik gambar kru udara Skuadron 503 yang akan menerbangkan HOM AW139 ke Lumut diketuai Pegawai Memerintah Skuadron 503 Muhammad Firdaus Ramli.

Dalam kejadian pagi tadi, kedua-dua helikopter itu yang berlepas dari Padang Sitiawan pada 9.03 pagi tadi bertembung semasa latihan lintas hormat sempena Hari TLDM ke-90.

Helikopter HOM-AW139 itu dilaporkan terhempas di Stadium TLDM, manakala Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM.

TLDM menubuhkan lembaga siasatan untuk menyiasat punca kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.