
Kerajaan Norway sebelum ini membatalkan permit eksport bagi NSM yang ditempah Malaysia daripada Kongsberg menerusi kontrak pada 2018 untuk melengkapkan enam kapal tempur pesisir (LCS), dengan alasan eksport teknologi pertahanannya hanya akan dihadkan kepada ‘sekutu dan rakan terdekat’.
Laporan media mendakwa komponen terhad buatan AS dalam NSM Norway – khususnya giroskop panduan canggih – mungkin mencetuskan kawalan eksport AS, sekali gus membolehkan Washington secara tidak langsung memveto urus niaga itu.
Bagaimanapun, Kuasa Usaha Kedutaan AS di Malaysia, David H Gamble Jr berkata AS menyokong pemerolehan keupayaan peluru berpandu tentera laut oleh Malaysia bagi menangani ancaman serantau dan melindungi kedaulatannya.
Dalam kenyataan hari ini, Gamble berkata AS malah memudahkan integrasi komponen panduan diperlukan bagi NSM kepada Kongsberg pada 2024 untuk memastikan sistem itu dapat dihantar kepada Malaysia.
“AS kekal komited terhadap hubungan pertahanan dan keselamatan yang kukuh dengan Malaysia serta mempertingkatkannya menerusi memorandum persefahaman kerjasama pertahanan, 14 latihan dua hala dan pelbagai hala secara berkala, pembangunan profesional, dan bantuan keselamatan maritim,” katanya.
Menurut US Naval Institute, NSM itu dijadual dihantar kepada Malaysia pada awal Mac lalu. Namun, pegawai Malaysia dimaklumkan mengenai ‘kelewatan yang tidak dinyatakan’.
Menteri Pertahanan Khaled Nordin pada Selasa berkata Malaysia menuntut pampasan lebih RM1 bilion daripada Kongsberg melibatkan kos langsung dan tidak langsung. Katanya, kerajaan telah membuat bayaran sebanyak 95% daripada keseluruhan nilai perolehan berjumlah RM634 juta.
Beliau berkata kos tidak langsung itu termasuk penanggalan sistem pelancar peluru berpandu yang telah dipasang pada kapal tentera laut serta integrasi sistem pengganti yang dibekalkan vendor lain.
Keputusan Norway membatalkan lesen eksport itu turut dikecam Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menyifatkan tindakan itu sebagai tidak boleh diterima.
Beliau berkata, Malaysia telah memenuhi setiap kewajipan di bawah kontrak itu, yang merupakan instrumen serius tidak boleh diperlakukan dengan sewenang-wenangnya, sejak 2018.