
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu menyebabkan syarikat dari Norway yang terlibat tidak dapat meneruskan pembekalan seperti dipersetujui, walaupun kontrak perolehan berkenaan telah dimeterai sejak 2018.
Katanya, kontrak tersebut telah dilaksanakan tanpa sebarang isu, dengan semua pembayaran dibuat mengikut jadual.
“Kerajaan Malaysia sama sekali tidak dapat menerima alasan yang dikemukakan oleh kerajaan Norway,” katanya pada sidang media mingguan yang diadakan di Angkasapuri.
Fahmi yang juga jurucakap kerajaan Madani berkata, kerajaan kini sedang mengambil tindakan melalui saluran diplomatik selain mempertimbangkan langkah susulan dari sudut perundangan kerana perkara berkaitan perancangan pertahanan negara melibatkan kepentingan strategik yang tidak boleh dikompromi.
Kementerian Luar Norway dilaporkan menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian langkah negara itu memperketat kawalan eksport.
Menurut laman web syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan peluru berpandu anti-kapal (NSM) itu dimeterai antara Tentera Laut (TLDM) dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal LCS baharu.
Peluru berpandu itu mempunyai keupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan jarak melebihi 300km.
Sementara itu, mengulas kenyataan kontroversi Ahli Parlimen Pasir Putih Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad, Fahmi berkata, Jemaah Menteri mengecam keras perkara itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa serta Jabatan Agama Islam untuk menjalankan siasatan lanjut.
Sebelum ini, tular video ucapan Nik Zawawi yang didakwa menghina beberapa sahabat Nabi dalam ceramah di Kuala Terengganu, Ahad lepas, namun beliau hari ini memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu selepas mengakui kurang cermat dalam penyampaiannya.