LCS ke-3 ‘Sharif Mashor’ selamat dilancar

LCS ke-3 ‘Sharif Mashor’ selamat dilancar

Nama pahlawan Sarawak yang gah jadi simbol semangat perjuangan dan kekuatan armada TLDM.

LCS ketiga milik TLDM yang diberi nama ‘Sharif Mashor’ dilancarkan di limbungan Lunas hari ini. (Gambar Bernama)
LUMUT:
Keberanian dan semangat perjuangan Pahlawan Sarawak Sharif Mashor diabadikan pada Kapal Tempur Pesisir Ketiga (LCS3) negara milik Tentera Laut (TLDM) yang selamat dilancarkan di limbungan Lumut Naval Shipyard (Lunas) hari ini.

Upacara penamaan dan pelancaran penuh istiadat itu disempurnakan isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Fauziah Mohd Sanusi dengan simulasi penolakan ‘Engine Order Telegraph’ sebagai simbolik pelancaran.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima TLDM Zulhelmy Ithnain serta Ketua Pegawai Eksekutif Lunas Azhar Jumaat.

Ketika membacakan teks ucapan Menteri Pertahanan Khaled Nordin, Adly berkata, pemilihan nama itu bertepatan dengan ketokohan Sharif Mashor.

“Beliau pada awalnya pemerintah Sarikei yang mengawal Batang Rajang, Pahlawan Sharif Mashor dipercayai berasal dari Igan dan berkahwin dengan kakak Pengiran Nipa.

“(Beliau) yang dikenali mempunyai semangat pertiwi yang tebal, telah merancang untuk menentang pemerintahan Brooke,” katanya.

Adly berkata, semangat kepahlawanan, perjuangan dan keberanian Sharif sangat sesuai diinspirasikan dengan keupayaan LCS TLDM yang mampu menangkis serangan musuh dari pelbagai dimensi.

Tambahnya, nama Sharif yang gah akan menjadi simbol semangat perjuangan dan kekuatan armada TLDM khasnya dan ketumbukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Proses pembinaan LCS3 bermula dengan majlis perletakan lunas atau keel laying pada 29 Nov 2017. Kapal itu diluncurkan ke permukaan air secara teknikal di Lunas pada 31 Jan lepas, melibatkan pengujian dan penyempurnaan pelbagai sistem bagi memastikan kesiapsiagaan operasi.

Terdahulu, LCS1 ‘Maharaja Lela’ memulakan pelayaran pertama pada 28 Jan lepas, manakala pada 3 Julai 2025, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menyempurnakan upacara pelancaran dan penamaan LCS2 yang dinamakan ‘Raja Muda Nala’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.