Rakyat Malaysia maut nahas helikopter di Filipina

Rakyat Malaysia maut nahas helikopter di Filipina

Duta Besar Malaysia ke Filipina Abdul Malik Melvin Castelino memaklumkan seorang lagi rakyat Malaysia yang cedera sedang dirawat di hospital.

nahas helikopter filipina
Keadaan helikopter jenis Bell 505 yang membawa lima individu selepas melakukan pendaratan cemas di Pililla, Wilayah Rizal pada Selasa. (Gambar polis Wilayah Rizal)
PETALING JAYA:
Seorang rakyat Malaysia maut, manakala seorang lagi cedera selepas sebuah helikopter membawa lima individu melakukan pendaratan cemas di Pililla, Wilayah Rizal, Filipina.

Seorang penumpang warga Filipina turut terkorban dalam kejadian kira-kira 7.27 pagi Selasa itu, selepas helikopter jenis Bell 505 melakukan pendaratan cemas di tanah kosong.

Duta Besar Malaysia ke Filipina, Abdul Malik Melvin Castelino, mengesahkan waris mangsa korban sudah dimaklumkan selepas identitinya dikenal pasti.

“Pihak kedutaan sedang memberikan bantuan konsular kepada waris mangsa dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan urusan konsular diperlukan,” katanya menurut Bernama.

Beliau memaklumkan warga Malaysia yang cedera sedang dirawat di hospital.

“Pegawai kedutaan juga telah melawat mangsa cedera bagi memberikan sokongan dan bantuan sewajarnya.”

Terdahulu, Agensi Berita Filipina melaporkan dua maut, manakala tiga lagi cedera, termasuk seorang dalam keadaan kritikal selepas sebuah helikopter awam terhempas di Pililla pada Selasa.

Datuk Bandar Pililla, John Masinsin dilaporkan berkata, seorang warga asing antara dua mangsa korban, manakala juruterbang helikopter terbabit parah dalam kejadian di Upper Barak, Barangay Quisao.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina sedang menyiasat pendaratan cemas helikopter itu yang dalam penerbangan dari Manila ke Wilayah Quezon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.