Nahas 2 helikopter: TLDM tubuh lembaga siasatan

Nahas 2 helikopter: TLDM tubuh lembaga siasatan

TLDM mengingatkan orang ramai tidak menularkan video kejadian bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa dan proses siasatan.

Keadaan Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) yang terhempas di Stadium TLDM Lumut. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menubuhkan lembaga siasatan untuk menyiasat dua helikopternya yang berlanggar dan terhempas di Pangkalan TLDM di Lumut, Perak, pagi tadi.

TLDM dalam kenyataan memaklumkan insiden berkenaan melibatkan Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan sebuah helikopter FENNEC milik TLDM yang terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90.

Seramai 10 kru terkorban dalam insiden itu.

“Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman,” katanya.

TLDM turut mengingatkan orang ramai tidak menularkan video kejadian bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa dan proses penyiasatan.

Difahamkan, kedua-dua helikopter itu yang berlepas dari Padang Sitiawan pada 9.03 pagi bertembung semasa latihan lintas hormat sempena Hari TLDM ke-90.

Helikopter HOM itu dilaporkan terhempas di Stadium TLDM Lumut, manakala helikopter Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Norazman Mahmud memaklumkan Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara (KLATCC) telah diaktifkan jam 10.20 pagi tadi bagi penyelarasan operasi menyelamat.

“Siasatan lanjut kemalangan akan dijalankan oleh pihak TLDM,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.