
Sumber berkata, SPRM turut menyita dua hotel milik pegawai kanan TLDM tersebut bernilai kira-kira RM2 juta.
Katanya, agensi terbabit kini mempergiatkan siasatan dakwaan rasuah perolehan projek TLDM dalam Op Layar.
“Setakat ini SPRM turut membuat semakan ke atas beberapa syarikat dengan Jabatan Akauntan Negara sama ada terdapat tender atau sebut harga oleh syarikat-syarikat berkenaan.
“Pada masa ini SPRM sedang mengesan aset-aset lain yang dimiliki oleh suspek dan turut mengesan pemilik-pemilik syarikat yang bersekongkol dengan suspek,” katanya, menurut Sinar Harian.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi hari ini mengesahkan perkara tersebut.
Menurutnya, seramai tujuh individu yang disyaki terlibat dalam kes itu telah dirakam percakapan.
Sebelum ini dilaporkan dua individu direman membabitkan pengarah syarikat dan pegawai kanan TLDM berusia 40 dan 50-an untuk siasatan kes terbabit.
Kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut sejak 2017 hingga 2020.
Sumber dilaporkan berkata, siasatan awal turut mendapati suspek pegawai kanan TLDM terbabit disyaki memiliki harta melebihi jumlah emolumen yang diterima seperti pemilikan kira-kira lapan aset tak alih terdiri daripada tiga buah rumah, tiga buah rumah kedai dan dua buah hotel yang didaftarkan atas nama beliau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.