Didakwa muat naik kandungan fitnah, palsu, SKMM lapor 3 blogger

Didakwa muat naik kandungan fitnah, palsu, SKMM lapor 3 blogger

Agensi itu dakwa kandungan dimuat naik pada 17 April cuba gambarkan pegawainya salah guna kuasa dan ada kepentingan politik.

SKMM buat laporan polis terhadap Chegubard, Salim Iskandar, dan Wan Azri Wan Deris.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) membuat laporan polis terhadap tiga blogger atas dakwaan fitnah dan menyebarkan tuduhan palsu terhadap agensi itu, dalam kandungan media sosial mereka.

SKMM juga berkata, laporan itu dibuat semalam terhadap Badrul Hisham Shaharin yang dikenali sebagai Chegubard, Mohamad Salim Iskandar (Salim Iskandar), dan Wan Muhammad Azri Wan Deris.

“Kandungan terbabit menggambarkan seolah-olah pegawai SKMM bertindak di bawah arahan yang mempunyai kepentingan politik, selain bersifat penyalahgunaan kuasa.

“Pada masa sama, ada antara tiga individu tersebut telah memfitnah SKMM dengan menyatakan pegawai-pegawai yang terlibat dalam rakaman percakapan sudah muak dengan kerajaan semasa, serta bertanya bila kerajaan akan bertukar,” katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan, tiga individu tersebut membuat tuduhan terhadap SKMM dalam kandungan dimuat naik di platform media sosial TikTok, Facebook serta Youtube, pada 17 Apr.

Katanya, penyebaran kandungan tidak benar juga termasuk dengan niat mengganggu pihak lain adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM 50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Agensi itu turut menegaskan, SKMM melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya berpandukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Oleh itu, SKMM menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dibuat individu-individu ini dan menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.