Chegubard bebas tuduhan fitnah Agong

Chegubard bebas tuduhan fitnah Agong

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur putus pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pemimpin Bersatu itu.

Che Gubard-Badrul Hisham Shahrin
Pada 11 Julai 2024, Badrul Hisham Shaharin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah yang boleh merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin, daripada pertuduhan membuat kenyataan fitnah yang boleh merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Hakim Norma Ismail menyampaikan keputusan itu pagi ini, memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Badrul, yang juga dikenali Chegubard pada akhir kes pendakwaan.

“Sehubungan itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri,” katanya.

Peguam Rafique Rashid Ali mewakili Badrul, manakala Timbalan Pendakwa Raya Sabri Othman hadir bagi pihak pendakwaan.

Pada 11 Julai tahun lalu, Badrul mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah yang boleh merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Istana Negara pada 6 petang, 22 Jan tahun sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, membawa hukuman maksimum dua tahun penjara atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seramai empat saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan — pengadu dari Istana Negara, dua saksi dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan pegawai penyiasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.