8 anggota FRU mengaku tak salah simpan bahagian pelanduk

8 anggota FRU mengaku tak salah simpan bahagian pelanduk

Tertuduh merayu ikat jamin RM2,000 kerana masing-masing mempunyai tanggungan.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM2,000 bagi setiap tertuduh yang didakwa menyimpan tanpa lesen lapan bahagian pelanduk. (Gambar Pexels)
PETALING JAYA:
Lapan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menyimpan lapan bahagian pelanduk pada 2021.

Rusli Che Omar, 42; Jafri Md Taib, 49; Mohamed Khalid Ibrahim, 50; Azaruddin Yahaya, 40; Mohd Izammudin Zainol, 38; Mohd Yusof Mohamed Yunos, 39; Mahadir Osman, 41, dan Jasius Joseph, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan bersama di depan Hakim Mazni Nawi.

Semua tertuduh didakwa menyimpan tanpa lesen lapan bahagian pelanduk (tragulus javanicus), iaitu hidupan liar dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dalam sebuah tong Coleman di bahagian belakang Land Rover.

Sinar Harian melaporkan kesalahan itu dilakukan kira-kira 1 tengah hari 17 Jan 2021 di jalan besar Kampung Talang, Empangan Talang, Kuala Pilah.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 60(1)(b) Akta 716 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 60(1) Akta 716, memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Amanina Mohamad Anuar menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh.

Peguam Hanif Hassan yang mewakili Jafri, manakala tertuduh lain tidak diwakili peguam, merayu ikat jamin RM2,000 kerana masing-masing mempunyai tanggungan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM2,000 setiap seorang dan 12 Jun ini untuk serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.