2 ditahan, polis rampas dadah lebih RM630,000

2 ditahan, polis rampas dadah lebih RM630,000

Siasatan mendapati suspek pertama mempunyai empat rekod jenayah lampau, manakala suspek kedua ada 12 rekod.

Polis berkata ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif methamphetamine dan amphetamine.
KUCHING:
Polis Sarawak merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM639,000 dalam serbuan berasingan di kawasan Miri, bahagian utara Sarawak Jumaat lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mancha Ata, berkata dalam operasi 10 malam itu, dua lelaki, masing- masing berusia 26 dan 33 tahun yang menjadi pengedar dadah dengan upah antara RM2,000 hingga RM5,000 turut ditahan.

“Lelaki berumur 26 tahun itu ditangkap di hadapan sebuah pusat hiburan di Miri dan merampas 31.73g dadah jenis syabu.

“Berikutan itu, dengan dipandu arah oleh suspek, polis menahan seorang lelaki berumur 33 tahun di sebuah kondominium dan merampas sejumlah 16,197g syabu, 198g ketamin dan 3,750 biji pil Erimin 5,” katanya dalam kenyataan.

Mancha berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah yang bernilai RM639,250 itu dianggarkan boleh digunakan oleh sejumlah 85,194 penagih.

“Polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Proton Wira bernilai RM10,000 dan seutas jam tangan bernilai RM5,000.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif methamphetamine dan amphetamine,” katanya.

Menurutnya, siasatan setakat ini mendapati suspek pertama mempunyai empat rekod jenayah lampau, manakala suspek kedua 12 rekod iaitu masing-masing enam bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan enam bawah Kanun Keseksaan.

Mancha berkata, kedua-dua suspek kini disiasat bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika dikenakan hukuman penjara, boleh dikenakan hukuman hingga 12 kali sebatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.