Wang persaraan RM1.06 juta lesap akibat pelaburan tak wujud

Wang persaraan RM1.06 juta lesap akibat pelaburan tak wujud

Polis berkata mangsa 61 tahun itu melihat iklan pelaburan di Facebook dan menghubungi nombor tertera menerusi WhatsApp.

Polis berkata mangsa dijanjikan pulangan 5% hingga 8% daripada jumlah modal pelaburan dalam tempoh sehari serta setiap kali transaksi pelaburan.
PETALING JAYA:
Seorang pesara universiti awam di Johor Bahru hilang wang persaraan RM1.06 juta kerana terpedaya pelaburan dalam talian tidak wujud.

Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata mangsa 61 tahun itu melihat iklan pelaburan di Facebook dan menghubungi nombor tertera menerusi aplikasi WhatsApp pada Disember lalu.

Katanya, mangsa diberikan penerangan mengenai pelaburan saham dan dijanjikan pulangan 5% hingga 8% daripada jumlah modal pelaburan dalam tempoh sehari serta setiap kali transaksi pelaburan.

“Tertarik dan percaya dengan keuntungan segera serta lumayan dijanjikan, mangsa mengikut arahan suspek dengan membuat pembayaran berjumlah RM1.06 juta ke beberapa akaun bank.

“Menurut mangsa, pelaburannya menjana keuntungan dan ia dipaparkan dalam aplikasi pelaburan itu, namun hasil keuntungan gagal dikeluarkan atas pelbagai alasan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, mangsa yang mengesyaki ditipu membuat semakan dalam aplikasi dan portal Semak Mule polis, dan mendapati nombor telefon suspek mempunyai rekod penipuan pelaburan.

Suatu laporan polis dibuat pada 22 Mac lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.