
“Sasaran sekarang adalah…kita perlu cipta ‘demand side’ dan ‘supply side’ sebab ini ekosistem baharu. Kita perlu tingkatkan dari segi permintaan, penggunaan dan juga dari segi penjanaan ‘green hydrogen’.
“Selain itu, kita dapat meraih manfaat daripada pendapatan ekonomi hidrogen sekitar RM12 bilion menjelang 2030,” katanya menurut Bernama selepas demonstrasi penggunaan Mobile Hydrogen Refueling Unit (MHRU) dan kenderaan berkuasa hidrogen di Putrajaya.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim merasmikan majlis itu dan meluangkan masa menyaksikan demonstrasi penggunaan MHRU, selain menaiki kenderaan berkuasa hidrogen jenis Toyota Mirai dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ke Pejabat Perdana Menteri.
MHRU merupakan teknologi pengisian semula hidrogen dalam kenderaan dengan hidrogen menggantikan bahan api fosil. MHRU juga bersifat mudah alih yang membolehkannya dipindahkan ke lokasi berbeza mengikut keperluan semasa.
Toyota Mirai ialah kenderaan jenis elektrik sel bahan api (Fuel Cell Electric Vehicle – FCEV) yang menjana elektrik menggunakan hidrogen untuk pemacuan kenderaan, menggunakan air sebagai hasil sampingan tanpa sebarang pelepasan karbon.
Chang berkata, MHRU akan dilancarkan di Putrajaya akhir tahun ini sebagai antara langkah untuk mempertingkatkan lagi pengetahuan masyarakat mengenai teknologi hidrogen.
“Penggunaan hidrogen sangat penting kerana ia akan membantu menghasilkan tenaga lebih bersih.”
Mengenai kenderaan hidrogen, katanya, ia mempunyai beberapa kekuatan utama, antaranya dari segi pengisian, jarak perjalanan dan berat kenderaan itu.
“Masa pengisian (kenderaan hidrogen) adalah pendek antara tiga hingga lima minit untuk satu pengisian penuh. Jarak (perjalanan) pula lebih jauh 700 hingga 1,000km untuk sekali pengisian dan berat kenderaan ini lebih ringan.”
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, pelaksanaan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) bakal meletakkan Malaysia di kedudukan sangat menguntungkan dalam pasaran global hidrogen hijau yang diunjur mencecah USD189.19 bilion menjelang 2050.
Katanya, pelaksanaan HETR dijangka menjana pendapatan sehingga RM12.1 bilion dengan jangkaan sumbangan kepada keluaran dalam negara kasar antara RM49 bilion dan RM61 bilion menjelang 2030.