UM tak patut bergantung saluran kemasukan terbuka jana pendapatan

UM tak patut bergantung saluran kemasukan terbuka jana pendapatan

Rosli Mahat dari Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma memberi amaran universiti awam akan terikut-ikut amalan sektor swasta.

Ahli akademik Rosli Mahat berkata universiti awam seperti Universiti Malaya perlu fokus mendidik rakyat Malaysia, bukannya menjana pendapatan.
PETALING JAYA:
Ahli akademik memberi amaran Universiti Malaya tidak patut bergantung kepada kaedah seperti Saluran Terbuka Universiti Malaya (SATU) untuk menambah jumlah pengambilan atau pendapatan.

Mereka berkata, sistem sedemikian berisiko menghakis meritokrasi dan memburukkan ketidaksamaan sosial dalam sektor pendidikan tinggi awam.

rosli mahat-ms-011024-1
Rosli Mahat.

Rosli Mahat berkata, universiti awam perlu fokus mendidik rakyat Malaysia, bukannya menjana pendapatan, serta memberi amaran tidak membiarkan ia terikut-ikut amalan sektor swasta.

“Ia tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan pendapatan kepada universiti awam. Jika tidak, jadikan universiti awam sebagai universiti swasta saja,” katanya kepada FMT.

SATU yang membenarkan pelajar memohon terus ke universiti awam di luar sistem berpusat UPU dikritik mengenakan yuran tinggi serta berpotensi mewujudkan akses “bayar untuk masuk” memintas piawaian akademik.

Baru-baru ini, MCA menggesa pengambilan program Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) UM untuk sesi 2025/2026 ditangguhkan sehingga Kementerian Pendidikan Tinggi menyemak semula mekanisme kemasukannya.

Satu kertas pendirian yang dibentangkan Presiden MCA, Wee Ka Siong, menyatakan pemilihan kemasukan pelajar UM yang kelihatan bersifat selektif menimbulkan persoalan berhubung meritokrasi dalam proses itu.

Katanya, kewujudan dua saluran kemasukan selari memperkukuh ketidaksamaan kerana pelajar berpendapatan rendah hanya mampu memohon melalui UPU, manakala pelajar berkemampuan boleh membayar yuran SATU lebih tinggi.

Rosli berkata, dua saluran kemasukan boleh wujud – satu untuk rakyat Malaysia dan satu lagi buat pelajar antarabangsa – tetapi kedua-duanya perlu mematuhi kriteria berasaskan merit sama sepenuhnya.

“Kenakan yuran lebih tinggi kepada pelajar antarabangsa, jika perlu. Tawar diskaun kepada pelajar Malaysia berdasarkan latar belakang sosioekonomi mereka dan beri keutamaan kepada pelajar kurang berkemampuan atau generasi pertama pemohon ke universiti.”

Sharifah Munirah Alatas
Sharifah Munirah Alatas.

Sharifah Munirah Alatas, timbalan pengarah dan felo penyelidik utama di Pusat Tadbir Urus Allianz, berkata masalahnya sama ada saluran kemasukan itu adil, telus dan berasaskan merit.

“SATU mungkin mendakwa ia adil dan berasaskan merit, tetapi bagaimana kita boleh pasti pelajar tidak diterima semata-mata kerana mereka mampu membayar yuran lebih tinggi?

“Di Malaysia, kita sedia maklum ada peraturan baik, tetapi pelaksanaan sangat lemah. Jika ada SOP jelas untuk proses pemilihan, bersikap telus mengenainya.”

Beliau mencadangkan UM menjana pendapatan melalui perluasan geran penyelidikan, pengkomersialan harta intelek dan perkongsian industri.

“Kurangkan beban kerja pentadbiran pensyarah di universiti awam supaya mereka ada lebih masa dan motivasi untuk menerbitkan karya berkualiti.”

Menurutnya, penerbitan itu boleh meningkatkan profil global universiti dan menarik lebih banyak dana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.