Projek bas berkuasa hidrogen Sarawak dipertikai

Projek bas berkuasa hidrogen Sarawak dipertikai

Adun Pending Violet Yong daripada DAP berkata tiga bas yang kini digunakan sering rosak.

bas hidrogen sarawak
Adun Pending Violet Yong berkata tiga bas hidrogen yang kini digunakan mula menunjukkan tanda-tanda bermasalah tidak lama selepas mula beroperasi pada 2020. (Gambar Facebook)
KUCHING:
Usaha Sarawak merintis penggunaan tenaga hidrogen dipersoal pembangkang apabila DAP mempertikai projek tersebut memandangkan tiga bas pertama dikuasakan sel bahan bakar itu kerap rosak.

Adun Pending, Violet Yong, berkata tiga bas yang kini dalam perkhidmatan kerap rosak selepas hanya lima tahun beroperasi. Jangka hayat kenderaan berkuasa hidrogen lazimnya sekitar 20 tahun, sama seperti dikuasakan petrol dan diesel.

Tiga bas yang kini dalam perkhidmatan – masing-masing bernilai RM2.2 juta – adalah sebahagian daripada percubaan untuk menguji daya maju menggunakan kenderaan dikuasakan tenaga bersih sebagai bas pengantara di ibu negeri itu.

Yong mendakwa, tiga bas berkuasa hidrogen itu sebenarnya mula menunjukkan tanda-tanda bermasalah selepas mula beroperasi pada 2020.

Violet Yong
Violet Yong.

“Tiga bas itu kerap rosak. Saya ada rekodnya.

“Setiap kali ada masalah, perkhidmatannya digantung. Tetapi kerosakan masih berlaku,” katanya dalam wawancara FMT.

Katanya, memandangkan tempoh untuk membaiki bas berkenaan mengambil masa beberapa hari – malah kadangkala lebih seminggu – beliau tidak yakin sistem itu boleh dipercayai.

Pada Oktober 2024, Sarawak Metro Sdn Bhd memberi kontrak bernilai RM122 juta untuk membekalkan 55 bas berkuasa hidrogen kepada syarikat usaha sama merangkumi SKS Coachbuilders Sdn Bhd dan Sun Credit Sdn Bhd.

Sarawak Metro adalah syarikat milik kerajaan negeri yang ditugaskan dengan membangunkan aset pengangkutan awam Sarawak.

Kontrak diberikan kepada SKS Coachbuilders dan Sun Credit adalah untuk rangkaian sistem aliran transit automasi (ART) yang berasaskan hidrogen.

Rangkaian sistem ART terletak bawah projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching yang objektifnya adalah untuk memastikan keterhubungan bagi meredakan lalu lintas di Kuching.

Projek mahal

Yong berkata, Premier Sarawak Abang Johari Openg memetik penjimatan signifikan ketika mengalihkan fokusnya kepada sistem ART daripada inisiatif terdahulu melibatkan projek transit aliran ringan (LRT) bernilai RM10.8 juta, susulan kritikan DAP terhadap kosnya yang tinggi.

Menurut Yong, sistem ART juga mahal memandangkan penghasilan hidrogen hijau masih belum dibangunkan sepenuhnya di Malaysia.

Katanya, penggunaan kenderaan berkuasa hidrogen masih di peringkat awal di Sarawak seperti dilihat dengan penggunaan minimal stesen pengisian semula hidrogen yang dibangunkan Sarawak Energy Bhd.

Yong berkata, Sarawak juga mampu belajar daripada pengalaman negara lain.

“Jepun, Korea Selatan dan Indonesia telah mencuba bas hidrogen dan menyerah kalah. Ia bukan mudah untuk diselenggara,” katanya.

Menurutnya, butiran penting mengenai projek ART masih tidak jelas, seperti teknologi yang digunakan, atau bagaimana kerajaan negeri merancang menggalakkan orang ramai beralih menggunakannya berbanding kereta sendiri.

Malah, katanya, maklumat asas seperti tambang, akses ke stesen, atau infrastruktur sokongan bagi menggalakkan orang ramai menggunakan bas ART, masih tidak jelas.

“Di Singapura, ada laluan pejalan kaki berteduh ke stesen MRT. Di Sarawak, laluan untuk projek ART pun belum ada. Kenapa tergesa-gesa menempah 55 bas hidrogen?”

Yong turut menyoal sama ada populasi Sarawak mewajarkan pelaburan yang begitu besar. Contohnya, gabungan populasi Kuching sebagai pusat bandar terbesar, bersama bandar satelit Samarahan, hanya 1.2 juta.

“Kami pembangkang tidak menentang pembaikan pengangkutan awam, tetapi kami juga mahukan kerajaan supaya realistik,” katanya.

“Bas elektrik terbukti berkesan dan digunakan secara meluas di Eropah, Korea Selatan dan Indonesia. Kenapa tidak mula saja dengan itu? Mari perbaiki perkara asas sebelum tergesa-gesa dengan eksperimen hidrogen yang mahal.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.