Asean setuju MoU grid tenaga dipertingkat, pelan hala tuju tenaga baharu

Asean setuju MoU grid tenaga dipertingkat, pelan hala tuju tenaga baharu

Perjanjian akan ditandatangani semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Asean pada Oktober.

Dato’ Haji Mad Zaidi Mohd Karli
KSU Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Mad Zaidi Karli umum pegawai kanan tenaga setuju syarat MoU yang dipertingkatkan untuk Grid Tenaga Asean.
KUCHING:
Pegawai tenaga Asean mempersetujui beberapa inisiatif utama serantau untuk mengukuhkan kerjasama dan ketersambungan tenaga.

Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Mad Zaidi Karli hari ini mengumumkan, pegawai kanan tenaga mempersetujui syarat memorandum persefahaman (MoU) yang dipertingkatkan untuk Grid Tenaga Asean (APG).

“Ini akan ditandatangani pada Oktober semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Asean,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Pegawai Kanan Asean mengenai Tenaga ke-43 yang berakhir hari ini.

Zaidi turut mengesahkan, para pegawai memperakukan dokumen dasar yang menggariskan fasa kedua (2026-2030) Pelan Tindakan Asean untuk Kerjasama Tenaga (Apaec) yang meneruskan tumpuan rantau ini terhadap keterjaminan tenaga, integrasi pasaran dan peralihan tenaga bersih.

Dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Fadillah Yusof berkata, Asean juga sedang meninjau mewujudkan tatakelakuan bagi rakan kongsi tenaga luaran di tengah-tengah peningkatan libat urus dengan rakan dialog, termasuk Amerika Syarikat dan Rusia.

Mesyuarat tiga hari itu, yang dihoskan oleh kementerian dari 16 hingga 18 Jun, disertai 250 perwakilan dari seluruh Asean, Sekretariat Asean, Pusat Tenaga Asean, dan rakan dialog dari China, Jepun, Rusia dan AS.

Hasil lain

Kementerian itu berkata, antara hasil penting lain mesyuarat tiga hari itu termasuk pelancaran projek Pembinaan Kapasiti Statistik Tenaga Asean-Rusia dan pembaharuan rangka kerja kerjasama tenaga Asean-Rusia 2026-2028.

Timbalan Ketua Direktorat Kerjasama Antarabangsa Rusia Elena Vikulova berkata, terdapat potensi besar untuk kerjasama tenaga Asean-Rusia memandangkan permintaan tenaga di rantau ini semakin melonjak.

Dalam kenyataan, kementerian itu memaklumkan, para pegawai kanan dari Australia, AS, Rusia, Korea Selatan, China dan Jepun membincangkan usaha memajukan langkah-langkah kecekapan tenaga, biobahan api lestari dan penggunaan tenaga boleh baharu semasa Mesyuarat Pasukan Petugas Kerjasama Tenaga Sidang Kemuncak Asia Timur ke-30.

Kenyataan itu turut menyebut, Agensi Tenaga Antarabangsa telah membentangkan Tinjauan Tenaga Asia Tenggara 2025, manakala Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa (Irena) berkongsi trend tenaga boleh baharu di seluruh dunia.

Selain itu, Bank Pembangunan Asia membentangkan pelan kerjanya bagi tempoh 2025-2026, yang menumpukan pada peralihan tenaga bersih dan pembangunan prasarana lestari, sambil turut mencatatkan ‘kemajuan signifikan’ dalam perbincangan mengenai APG bersama para pegawai kanan tenaga.

Terdahulu hari ini, Setiausaha Pertama Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan Kim Heegang dalam ucapan pembukaannya berkata, negara itu akan melancarkan sebuah projek kerjasama nuklear bersama Asean untuk menyokong secara sistematik kesediaan rantau ini dalam memperkenalkan loji kuasa nuklear.

Inisiatif baharu lain yang diumumkan termasuk pemindahan sistem pengurusan keselamatan elektrik Korea kepada negara-negara Asean daripada Perbadanan Keselamatan Elektrik Korea.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.