Buat aduan jika anak dijadikan kandungan tanpa kebenaran, ibu bapa diberitahu

Buat aduan jika anak dijadikan kandungan tanpa kebenaran, ibu bapa diberitahu

Sebelum ini Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) Rafiq Razali mendesak guru tidak menjadikan pelajar sebagai kandungan di media sosial.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata SKMM mempunyai kuasa menurunkan kandungan media sosial melibatkan kanak-kanak yang dimuat naik tanpa kebenaran ibu bapa.
KULAI:
Ibu bapa dan penjaga kanak-kanak diminta membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) jika rakaman gambar dan video anak mereka dijadikan kandungan media sosial oleh mana-mana pihak tanpa kebenaran.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata SKMM juga mempunyai kuasa untuk menurunkan kandungan media sosial melibatkan kanak-kanak yang dimuat naik tanpa kebenaran ibu bapa dan penjaga mereka bagi memastikan tiada mana-mana pihak dieksploitasi demi kepentingan peribadi.

Beliau berkata, Kementerian Komunikasi tidak mempunyai garis panduan khusus berhubung perkara itu, namun Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai panduan jelas mengenai penggunaan media sosial melibatkan guru dan murid yang dikeluarkan sejak 2017.

“Prinsipnya adalah gambar dan video kanak-kanak, sangat penting untuk kita dapatkan persetujuan ibu bapa, kerana mereka penjaga kepada budak-budak tersebut, persetujuan itu perlu dan ia (kuasa menurunkan kandungan) terpakai untuk semua platform. Tindakan akan diambil jika dimuat naik tanpa kebenaran.

“Jadi, sekiranya Kementerian Komunikasi atau SKMM terima aduan video TikTok atau media sosial lain, guna pakai gambar atau video kanak-kanak tanpa persetujuan ibu bapa, SKMM akan hubungi platform tersebut untuk turunkan kandungan kerana persetujuan itu sangat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program serahan sumbangan masjid dan surau Parlimen Kulai sempena Ramadan di sebuah pusat beli-belah.

Pada 18 Mac lalu, Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF), Rafiq Razali, dilapor mendesak guru supaya tidak menjadikan pelajar mereka sebagai kandungan di media sosial terutama jika tanpa kebenaran ibu bapa.

Pada 4 Mac lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilapor berkata golongan guru tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahgunakan platform media sosial dan tindakan tegas akan diambil jika terbukti mereka melanggar garis panduan berkenaan.

Sementara itu, berhubung program serahan tersebut, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata sebanyak RM87,000 disumbangkan oleh Pejabat Parlimen Kulai kepada 29 masjid dan 58 surau dalam Parlimen Kulai sempena Ramadan tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.