Gajah cedera dilanggar Porsche Cayenne

Gajah cedera dilanggar Porsche Cayenne

Polis mendapat maklumat berhubung kejadian di Kilometer 45, Kampung Kolam, Setiu itu pada 10.15 malam.

Keadaan Porsche Cayenne selepas melanggar seekor gajah di Kilometer 45, Kampung Kolam, Setiu, malam tadi. (Gambar PDRM)
KUALA TERENGGANU:
Berpantang maut sebelum ajal. Seorang lelaki bernasib baik apabila terselamat selepas kenderaan yang dipandunya melanggar seekor gajah di Kampung Kolam, Setiu, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu Afandi Husin berkata mangsa Sharul Azma Che Samaon, 42, tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu.

Beliau berkata bagaimanapun, bahagian hadapan kereta mewah jenis Porsche Cayenne dipandu mangsa yang merupakan seorang pengurus syarikat, rosak dengan cermin retak, bampar dan lampu pecah selain kemek pada bonet dan ‘fender’.

“Polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.15 malam daripada anggota bertugas Kaunter Aduan Trafik Setiu.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa dalam perjalanan dari Rhu 10 hendak ke Lembah Bidong dan setibanya di lokasi kejadian iaitu di Kilometer 45, Kampung Kolam di Jalan Kuala Terengganu – Kampung Raja dia tidak sempat mengelak haiwan itu yang berada di atas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Afandi berkata gajah berkenaan yang dilihat berkeliaran di kawasan tersebut pada 6.30 petang semalam dilaporkan cedera di bahagian kaki dan terjatuh di tempat kejadian sebelum melarikan diri ke dalam hutan berhampiran kira-kira 10 minit kemudian.

“Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Daerah Besut telah dimaklumkan untuk tindakan lanjut.

“Usaha mengesan gajah tersebut masih diteruskan oleh sembilan anggota Perhilitan Besut dibantu orang awam. Haiwan liar itu dipercayai menuju ke Bukit Putera, Setiu melalui jalan hutan,” katanya.

Sementara itu menerusi hantaran di Facebook, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Dr Azman Ibrahim berkata gajah berkenaan telah berada dalam pemerhatian Perhilitan Terengganu sejak beberapa hari lepas kerana didapati berkeliaran di sekitar Setiu dan dalam proses tangkap pindah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.