DUN Kelantan lulus usul gubal semula 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah terbatal

DUN Kelantan lulus usul gubal semula 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah terbatal

Usul itu dicadangkan Wan Rohimi Wan Daud (PAS-Melor) yang dipersetujui semua Adun termasuk dua pembangkang.

DUN Kelantan meluluskan usul penggubalan semula 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang terbatal oleh Mahkamah Persekutuan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan usul penggubalan semula 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang terbatal dan tidak sah untuk dikuatkuasakan di negeri terbabit.

Usul itu yang dicadangkan Wan Rohimi Wan Daud (PAS-Melor) dipersetujui semua Adun termasuk dua pembangkang.

Speaker Mohd Amar Nik Abdullah berkata usul diluluskan kerana memenuhi tiga syarat iaitu mustahak, kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan

Katanya DUN Kelantan turut berdukacita atas keputusan pembatalan 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 itu, menurut Berita Harian.

Media sebelum ini melaporkan, Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 atas alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Panel sembilan hakim, yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman memfailkan cabaran perlembagaan itu pada 2022 untuk mempersoalkan kuasa DUN Kelantan meluluskan enakmen itu.

Tengku Maimun berkata kes itu bukan bertujuan untuk menggugat agama Islam atau mahkamah syariah tetapi semata-mata untuk mempersoalkan sama ada sebuah DUN boleh meluluskan undang-undang tanpa melampaui kuasa yang diberikan kepadanya oleh Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.