Agak keterlaluan yakin PKR mampu tawan Kelantan, kata Tuan Ibrahim

Agak keterlaluan yakin PKR mampu tawan Kelantan, kata Tuan Ibrahim

Timbalan presiden PAS berkata, kenyataan Wan Azizah Ismail hanya untuk bakar semangat jentera PKR di kubu kuat PAS.

Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS komited untuk memperkukuh parti dan yakin akan terus mempertahankan Kelantan yang dirampas daripada BN sejak 1990an.
PETALING JAYA:
Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan keyakinan bekas presiden PKR Wan Azizah Ismail bahawa parti itu mampu menawan Kelantan sebagai agak keterlaluan.

Timbalan presiden PAS itu berpandangan, kenyataan itu tidak lebih daripada sekadar bertujuan membakar semangat jentera parti itu di kubu kuat PAS.

“Pada saya, beliau (Wan Azizah) ingin beri semangat kepada jentera parti PKR sebagai persiapan PRU, namun agak keterlaluan dalam menganalisis sokongan terhadap PKR, khususnya.

“Berdasarkan keputusan lalu, Pakatan Harapan (PH) melalui Amanah menang satu kerusi, manakala kesemua (kerusi) Parlimen berjaya dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Wan Azizah bahawa PKR mempunyai potensi menawan Kelantan melalui semangat dan komitmen anak muda dalam parti tersebut.

Menurut pengerusi majlis penasihat PKR itu, kerjasama erat dalam parti turut menjadi faktor utama yang menarik lebih ramai orang untuk menyertai perjuangan PKR.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, PAS komited untuk memperkukuh parti dan yakin akan terus mempertahankan Kelantan yang dirampas daripada Barisan Nasional (BN) sejak 1990an.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah pula menasihati PKR supaya fokus dalam usaha mempertahankan negeri yang kini dipimpinnya, berbanding ‘bermimpi’ menawan negeri lain.

“Saya cadangkan PKR berusaha pastikan Selangor kekal dalam tangan PH, berbanding berangan-angan tawan Kelantan,” katanya kepada FMT.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kelantan Ahmad Yakob turut berkata, anak muda khususnya di Kelantan tidak mudah dipengaruhi oleh parti yang memperjuangkan reformasi namun ‘kabur’.

“(Dasar) Membangun Bersama Islam (MBI) di Kelantan mengajar sebahagian besar anak muda agar tegak berprinsip dan beristiqamah dengan politik Islam,” kata bekas menteri besar Kelantan itu.

Pada PRU15, BN gagal mempertahankan lima kerusi Parlimennya di Kelantan apabila PN menyapu bersih 14 kerusi Parlimen di negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.